Pilih Bahasa

Covid-19: Sabah rekod kes kematian ke-6, 33 kes baharu, 17 kes penularan dalam negara

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Sabah rekod kematian keenam membabitkan seorang warga emas wanita yang didapati berkaitan Covid-19 di Keningau hari ini.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri ini sebanyak enam kes.

Infografik KKKR. Gambar SNT/Ihsan KKKR

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan satu kes kematian ini menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 119 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dalam laporan harian beliau di Putrajaya, Dr Hisham berkata sebanyak 33 kes baharu positif Covid-19 dikesan melibatkan 17 kes penularan dalam negara pada hari ini iaitu hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,402 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,115 kes.

“Daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Jelasnya, bagi tiga kes dalam kalangan warganegara, kes saringan kontak kepada kes positif (kes ke-7,735) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kes saringan pusat tahfiz di Selangor serta kes saringan kepada kes kematian dalam komuniti iaitu kes kematian ke-119, masing-masing mencatatkan satu kes.-SabahNewsToday