Pilih Bahasa

COVID-19: SLS rancang laksana pendengaran secara maya di Mahkamah Sabah

KOTA KINABALU, 23 Mac  — Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) sedang merancang  bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan beberapa pegawai mahkamah untuk mengeluarkan Arahan Amalan dalam mengendalikan pendengaran mahkamah secara maya dan persidangan video, ekoran penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Roger Chin dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata langkah itu perlu bagi memastikan urusan mahkamah dalam melaksanakan keadilan terus berjalan di samping mengurangkan risiko penyebaran jangkitan COVID-19 antara hakim, pegawai undang-undang, peguam dan orang awam yang berada di mahkamah.

Roger Chin. Gambar SNT/Ihsan SLS

“Langkah-langkah yang dimaksudkan itu sebahagian besarnya adalah daripada inovasi yang dibuat melalui platform Sistem Pengurusan Kes (CMS) yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Banyak perkara tidak lama lagi boleh dilakukan melalui CMS dan persidangan video, yang sebelum ini memerlukan kehadiran secara langsung. SLS berterima kasih kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan pegawai-pegawai mahkamah kerana proaktif dan bekerjasama dalam masa yang sukar ini, “ katanya.

Chin berkata SLS berharap langkah-langkah yang diambil buat masa ini akan terus digunakan walaupun selepas wabak itu berjaya ditangani, seiring dengan dunia bergerak ke arah komunikasi maya dan dalam talian.

Memiliki teknologi adalah tidak berguna tanpa kesediaan untuk belajar dan menyesuaikan diri, katanya.

— BERNAMA