Pilih Bahasa

Covid-19: Tiga kes baharu di Sabah, negara catat kematian pertama selepas 13 hari

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Kes Covid-19 di Sabah meningkat semula apabila tiga daerah masing-masing mencatat satu kes baharu hari ini.

Kes terbaharu di Kota Kinabalu, Penampang dan Beaufort itu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 negeri ini setakat 5 Jun adalah 351 kes.

Infografik Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) mengenai situasi Covid-19 di Sabah setakat 5 Jun. Gambar SNT/Ihsan KKKR

Pada masa sama satu kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini menjadikan jumlah kes yang telah pulih meningkat kepada 336 kes.

Maklumat lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai tiga kes terbaharu itu masih dinanti ketika berita ini ditulis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kes kematian dilaporkan hari ini selepas 13 hari berturut-turut tiada kes kematian baharu dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 116 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut dilaporkan Bernama berkata jumlah jangkitan kes positif Covid-19 baharu negara hari ini kembali turun kepada dua digit iaitu 19 kes dengan sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia.

Daripada 19 kes baharu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, katanya.

“Daripada 12 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara manakala sembilan kes membabitkan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,266 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini ialah 51 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,610 kes iaitu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-SabahNewsToday