Pilih Bahasa

Covid-19: YADIM Sabah agih kit makanan kepada golongan Asnaf

Oleh Sabah News Today

KINARUT: Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) cawangan Sabah turut mengagih-agihkan kit bantuan makanan kepada golongan asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri Kawang yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Pengarahnya Haji Samin Haji Ongki berkata kali ini YADIM berkolaborasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyampaikan kit bantuan makanan kepada 20 orang golongan asnaf yang terjejas termasuk terputus bekalan makanan disebabkan tiada sumber pendapatan tetap.

Samin sempat bertanyakan khabar sambil menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima sempena program tersebut. Gambar SNT/Ihsan Yadim

“Kita telah menyampaikan kit barang makanan membabitkan beras, tepung, biskut, gula, sardin dan telur diagihkan kepada fakir miskin, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim piatu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan tersebut di Kinarut pagi kelmarin .

Mengulas kolabarasi Yadim Sabah bersama JPJ Sabah dalam program tersebut Samin berkata sebelum ini masyarakat hanya mengenali jabatan tersebut sebagai jabatan penguatkuasa dalam melaksanakan undang undang khususnya di jalan raya namun dalam masa yang sama menurut beliau JPJ termasuk jabatan serta agensi kerajaan yang lain mempunyai tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat dan negeri yang cakna kepada kehidupan rakyat dalam mendepani musibah ini melalui pelbagai bantuan dan dengan penyertaan jabatan agensi kerajaan serta badan badan NGO di negeri ini dalam membantu rakyat ianya lebih banyak membawa manfaat untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan penularan Virus Covid-19 ini,” katanya.

Samin (depan) bersama anggota JPJ ketika bergerak membawa kit bantuan makanan ke salah sebuah rumah asnaf semasa program tersebut. Gambar SNT/Ihsan Yadim

Sehubungan dengan itu Samin berharap lebih ramai badan badan NGO dan sektor korporat di negeri ini turun padang menghulurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas dengan musibah ini.

“Bagi Yadim Sabah ini kali kedua kita turun padang menyampaikan bantuan sebelum ini kita telah menyerahkan bantuan kepada pasukan barisan hadapan seperti polis tentera dan RTM,” katanya.-SabahNewsToday