Pilih Bahasa

Cuba melarikan diri dari diperiksa polis, dua remaja lelaki maut

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua remaja lelaki maut apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri daripada diperiksa polis dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, kedua-dua remaja berusia 14 dan 18 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Likas.

Dua remaja maut selepas dipercayai merempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sebelum kejadian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ternampak sebuah motosikal jenis Yamaha LC dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika keluar simpang Kampung Gudon.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota URB itu, motosikal dinaiki kedua-dua remaja terbabit memecut laju untuk lari daripada pemeriksaan polis sebelum dikejar.

“Sebaik tiba di lampu isyarat Rampayan, motosikal dinaiki dua remaja lelaki itu melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda D Max yang dalam perjalanan dari 1Borneo menuju ke Kampung Dambai, Rampayan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua remaja terbabit terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenderaan D Max turut rosak akibat dirempuh oleh motosikal dinaiki dua remaja lelaki terbabit. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata pemeriksaan mendapati motosikal yang digunakan oleh remaja itu adalah motosikal curi di Manggatal pada 26 Januari lalu.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal kerana menunggang secara melulu dan bahaya hingga menyebabkan kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – SabahNewsToday