Pilih Bahasa

Cuba sogok RM5,000 elak ditangkap, 6 orang ditahan PGA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am bagi melepaskan enam individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes dadah, semalam.

Suspek dan enam individu berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada hari yang sama, kira-kira pukul 2 petang, di rumah tidak bernombor di Kampung Brantian, Batu 7 Kalabakan.

Antara suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kes dadah. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mustapha Othman berkata pihak dari Bahagian Risik dan Strike Force Road Check Point (RCP Kalabakan) PGA Batalion 14 bertindak menyerbu rumah terbabit dipercayai ‘port’ dadah.

Katanya tiga lelaki dan seorang wanita cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan antara suspek dan penguatkuasa.

Wang tunai RM5,000 yang dibawa seorang suspek dengan tujuan memberi suapan kepada anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 14. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

“Hasil pemeriksaan mendapati satu bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 14 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 93.80 gram dianggarkan bernilai RM15,000 bersama wang tunai ditemukan di dalam beg silang salah seorang daripada suspek.

“Dua lagi lelaki ditahan ketika tiba di rumah berkenaan bagi membeli bekalan syabu sebelum datang seorang lagi suspek dengan tujuan memberi suapan sebanyak RM5,000 kepada anggota PGA bagi melepaskan kesemua suspek.

Dadah yang ditemukan di dalam beg silang salah seorang suspek seberat 90.80 gram dianggarkan bernilai RM15,000. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

“Suspek bagaimanapun ditahan kerana cuba merasuah pihak penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas samurai dan lima parang pelbagai saiz di dalam rumah terbabit.

Rumah yang diserbu Pasukan Gerakan Am dipercayai menjadi ‘port’ dadah. Gambar SNT/ Ihsan PGA Tawau

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday