Pilih Bahasa

Cubaan elak ditahan gagal, kereta kehabisan minyak

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Selepas hampir setengah jam dikejar empat Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), seorang lelaki akhirnya berjaya diberkas apabila kereta dipandunya kehabisan minyak lalu terbabas di Jalan Bukit Bendera, di sini, awal pagi tadi.

Polis menahan suspek setelah kereta Hyundai Atos yang dipandunya kehabisan minyak di Jalan Bukit Bendera awal pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, kereta MPV polis dari Balai Polis Luyang yang sedang menjalankan rondaan Ops Payung mengesan sebuah kereta jenis Hyundai Atos dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Cenderakasih, Kolombong.

Anggota polis kemudian cuba menahan untuk tujuan pemeriksaan namun kereta dipandu seorang lelaki bersama wanita dan seorang bayi perempuan berusia 22 hari memecut laju dan cuba melanggar kereta anggota bagi mengelak ditahan.

ACP Habibi Majinji. Gambar Fail SNT

Susulan itu, anggota polis terus mengekori kereta yang bergerak laju menuju ke Jalan Lintas dan kemudian bergerak ke Jalan Bundusan, Jalan Penampang Bypass, Jalan Donggongon, Jalan Lok Kawi, Jalan Sabindo, Jalan Putatan dan masuk semula ke pusat bandar Kota Kinabalu di Jalan Tun Fuad Stephen

Beberapa unit MPV dari IPD Kota Kinabalu yang menerima laporan itu kemudian mengekori kereta suspek. Ketika itu kereta dipandu lelaki itu bukan sahaja cuba melanggar beberapa kenderaan polis malah melawan arus serta melanggar sekatan jalan raya di Jalan Lintas yang sedang membuat Ops Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, unit MPV dan URB terus mengekori kereta itu sambil meminta supaya suspek memberhentikan kenderaan namun dia terus bergerak laju secara merbahaya.

“Suspek memandu secara berbahaya dengan melawan arus, langgar sekatan jalan raya walaupun beberapa diarah untuk berhenti termasuk menggunakan alat pembesar suara.

“Kita mengekori kereta itu kerana bimbang keselamatan bayi yang berada di dalam kereta dipandu suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika berada di selekoh tajam di Jalan Bukit Bendera, kereta dipandu suspek terbabas selepas kehabisan minyak.

“Anggota polis kemudian bertindak menahan suspek dan membawa wanita serta bayi keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan wanita itu serta kenderaan tidak menemui sebarang benda terlarang.

“Suspek berusia 26 tahun warga tempatan dan wanita berusia 31 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik manakala wanita itu adalah rakan suspek.

“Bayi perempuan berusia 22 hari itu anak kepada wanita terbabit. Kereta dipandu suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya. – SabahNewsToday