Pilih Bahasa

Cuepacs cadang kerajaan naikkan kadar pelepasan cukai

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Azih (duduk tiga dari kanan) ketika sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Sabah Sesi 2019-2022 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar pelepasan cukai dalam usaha meringankan beban panjawat awam dalam Belanjawan 2020 dijangka bakal dibentangkan pada Oktober hadapan. 

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata kadar pelepasan yang dikenakan ketika ini sudah terlalu lama serta tidak bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

“Contohnya, kadar pelepasan individu sekarang adalah RM9,000 setahun. Kita meminta supaya cukai individu ini dinaikkan kepada RM18,000 setahun.

“Bagi isteri yang tidak berkerja pula kita minta kadar pelepasan dari RM2,000 kapada RM5,000 setahun.

“Pelepasan ini dilihat mampu membantu penjawat awam dan yakin perbelanjaan ini membolehkan ekonomi kita lebih berdaya saing serta dinamik.

“Selain itu, menerusi pelepasan cukai ini juga kita berharap beban yang ditanggung keluarga untuk perbenlanjaan rutin isi rumah dapat disusun semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Sabah Sesi 2019-2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Cuepacs Sabah merangkap Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Adamin Mokh.

Dalam pada itu, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan supaya semua penjawat awam menerima sebulan gaji dalam pembentangan belanjawan sama bulan hadapan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan agar kerajaan mengekalkan bilangan anggota perkhidmatan awam sedia ada iaitu 1.62 juta orang.

Menurut Azih, walaupun jumlah berkenaan dilihat agak besar namun ia melibatkan empat cabang perkhidmatan wajib seperti polis, tentera, guru dan kesihatan.

Katanya negara mempunyai tenaga kerja kumpulan sokongan 600,000 orang dan jumlah itu cukup menjadi tulang belakang kepada kerajaan dengan nisbah 1:51. – SabahNews Today