Pilih Bahasa

Cuepacs harap rakyat beri sokongan kepada kerajaan atasi Covid-19

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Cuepacs

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik dan menyokong sepenuhnya usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata kesatuan itu yakin bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah tepat bagi mengawal penularan wabak Covid-19 demi untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Cuepacs berharap semua rakyat memberi sokongan dan yakin akan apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini serta bersama-sama menjaga keamanan bumi tercinta ini.

“Kurangkan pergerakan atau perjalanan yang tidak perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah Cuepacs juga berharap agar kerajaan dapat mengambil inisiatif atau langkah yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang terpaksa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya keselamatan dan kebajikan para petugas kerajaan serta ahli keluarga mereka perlu diberi perhatian terutama kepada mereka yang tetap perlu bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jelas beliau lagi sokongan dan kerjasama daripada orang awam dan rakyat dalam memahami tugas warga penjawat awam juga diperlukan ketika negara sedang berhadapan dengan krisis seperti Covid-19.

“Cuepacs juga berharap industri penerbangan dapat memberi kelonggaran kepada mereka yang telah membuat tempahan perjalanan untuk `open’ tiket bagi tarikh perjalanan yang baru dan bukannya batal terus tanpa pemulangan wang kepada pelanggan.

“Ia sedikit sebanyak boleh membantu meringankan kerugian rakyat yang telah membuat tempahan tiket sebelum ini. Penyedia perkhidmatan pelancongan dan perhotelan tempatan juga perlu bertimbang rasa sekiranya terdapat tempahan yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya.

Tambah beliau, apabila musibah melanda jmat Islam khususnya perlu melakukan solat hajat, bacaan ayat-ayat suci Al Quran di samping sentiasa menjaga kebersihan.

Sehubungan itu, katanya Cuepacs berharap isu Covid-19 akan selesai dalam masa yang terdekat. – SabahNewsToday