Pilih Bahasa

CURI AIR, PEMILIK RUMAH DIKOMPAUN RM10 RIBU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Air daerah ini mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap seorang pemilik rumah kerana didapati melakukan penyambungan air secara haram di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu, hari ini.

Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen berkata dalam kejadian jam 1.50 petang itu, pihaknya yang menjalankan Ops Cegah mendapati terdapat penyambungan paip haram di rumah terbabit.

Pihak Jabatan Air Tawau melakukan pemotongan paip di sebuah rumah milik persendirian, di Taman Guan Soon, Jalan Tanjung Batu Tawau. – Gambar SNT/ Ihsan Jabatan Air Tawau

“Dalam operasi itu, kita berjaya mengesan dan melakukan tindakan pemotongan sambungan paip haram tersebut.

“Kita juga mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik rumah tersebut atas kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata tindakan pemotongan paip itu dilakukan atas kesalahan dibawah Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.

Beliau turut menegaskan kepada semua pengguna supaya mematuhi undang-undang sebagaimana yang dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan dengan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan.

Sementara itu, beliau juga menggesa mana-mana individu mahupun syarikat2 yang dikenakan tindakan kompaun sebelum ini menjelaskan bayaran kompaun dengan segera.

“Sila buat bayaran dengan segera sebelum pihak Jabatan Air Tawau mengambil tindakan mahkamah dan akan menyulitkan lagi proses membuat penyambungan meter baru,” katanya. – SabahNewsToday