Pilih Bahasa

“Cuti Balik Kampung Jumpa Ibu, Bapa, Mentua, Saudara-Mara” slogan Karim tarik pengundi

Gambar Bernama

KIMANIS, 12 Jan — Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang menggunakan strategi serampang dua mata menerusi slogan “Cuti-cuti Balik Kampung Jumpa Ibu, Bapa, Mentua dan Saudara-Mara” bagi menarik pengundi luar pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini.

Karim berkata pendekatan tersebut diyakini mampu menarik lebih ramai rakyat kawasan itu yang berada di Kota Kinabalu dan Labuan untuk pulang mengundi di kampung masing-masing, selain boleh meluangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Kita mengenal pasti dan mengadakan mesyuarat dengan ketua pengundi luar. Dalam dua tiga hari nanti secara logistiknya ia akan dilancarkan termasuk moto yang saya gunakan untuk pengundi luar balik mengundi iaitu cuti-cuti balik kampung jumpa ibu dan bapa, mentua serta saudara-mara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bagi bertemu pengundi di Tamu Pekan Membakut, dekat sini, hari ini.

Karim berkata Warisan juga akan menggunakan sebaiknya platform media sosial untuk menguar-uarkan kepada rakyat Kimanis yang berada di luar kawasan berkenaan untuk pulang mengundi.

Majoriti pengundi kawasan Parlimen Kimanis berada di Kota Kinabalu dengan jangkaan seramai 2,000 orang dan kira-kira 700 pengundi direkodkan di Labuan, katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan pengundian awal 14 Jan.

— BERNAMA