Pilih Bahasa

Cyrilla Loraine, Johan MGM 2019 Pesta Magahau Kudat

KUDAT : Cyrilla Loraine Collins John dinobatkan sebagai Gimpuhut (Johan) Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM) Pesta Magahau Zon Kudat 2019 yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Masanggkong, semalam.

Sementara itu, Marelvianvy Teofilis dan Lvianinah Mojium masing-masing muncul sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Cyrilla Loraine (tengah) Gimpuhut Mitarab Gimpuhut Momogun Pesta Magahau Zon Kudat bersama Marelvianvy Teofilus, Naib Johan (Kanan) dan Lvianinah Mojium (Kiri) tempat ketiga. SNT/Ihsan Jawatankuasa Pesta Magahau

Cyrilla Loraine juga dinobatkan sebagai Miss Popular bagi Zon Kudat selepas mendapat undian terbanyak.

Bagi gelaran ‘model of the year’ zon Kudat pula, ia dimenangi oleh Stephanie Heng Lee Yun.

Mereka masing-masing akan mewakili Kudat bagi Johan, Simpang Mengayau bagi Naib Johan manakala tempat Ketiga mewakil Sikuati ke Pertandingan MGM Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 3 Ogos nanti.

Bagi Mitarab Mindolongoi (Monurizak- pertandingan nyanyian) johan dimenangi oleh Raynel Botohong.

Johan Monurizak (Pertandingan Nyanyian) ( Tengah) Raynel Botohong (tengah) bersama Leffie Sawat (Kiri) dan Evalevera Ronald (Kanan). Gambar SNT/Ihsan Jawatankuasa Pesta Magahau

Manakala Leffie Sawat dan Evalevera Ronald masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Raynel akan mewakili Kudat, Leffie untuk Simpang Mengayau dan Evalevera pula mewakili Sikuati ke Pertandingan/Mitarab Mindolongoi Peringkat Negeri.

Timbalan Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Jose Modsinupu yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Magahau Peringkat Negeri 2019 telah merasmikan majlis itu.

Turut hadir ialah Pengerusi MGM, Ruhini Andong. Pengerusi Monurizak Charles Osingko, Pengerusi Monurizak Zon Kudat Arhadshah Angkangon, Ahli Panel Penasihat Samora, Majamil Tuarong, Naib Presiden Samora, Johori Botohong, Timbalan Pengerusi Pesta Magahau Zon Kudat, Rozan Assam dan ahli jawatankuasa MGM Induk Pesta Magahau 2019.

Jose Modsinupu (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada penganjur di majlis itu. Gambar SNT/Ihsan Jawatankuasa Pesta Magahau

Selain acara MGM dan Monurizak, sambutan tahun ini juga menyaksikan pengenalan acara baru iaitu Pertandingan Rekaan Sundatang bermotif rekaan Rungus dan pertandingan Monundatang (bermain Sundatang).

Baki dua zon lagi yang akan mengadakan sambutan Pesta Magahau tahun ini, iaitu Zon Beluran ( 27Julai 2019) dan Zon Kota Marudu (28 Julai 2019).-SabahNewsToday