Pilih Bahasa

D’ Naly Herbs Garden Tamparuli, taman herba untuk wanita

Gambar Bernama

Oleh Johary Indan

TAMPARULI, 13 Nov — Pengalaman sembuh daripada sakit yang dihidapi hampir tujuh tahun selepas melahirkan anak kedua, hasil ikhtiar menggunakan perubatan tradisional mendorong seorang ibu muda di daerah ini menceburi perusahaan pembuatan produk jamu herba.

Naly Majamin, 40, mula mengusahakan D’ Naly Herbs Garden pada 2017 dengan menanam pelbagai jenis herba dan akar kayu bagi menghasilkan produk jamu untuk kesihatan serta kecantikan ibu selepas bersalin yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI).

Naly yang dibantu suaminya Faizal Abdul Rauf, 32, memulakan operasi D’ Naly Herbs Garden di Kepayan, Kota Kinabalu, namun, beliau mengambil keputusan berpindah ke Tamparuli pada Mac 2019 selepas mendapati daerah ini adalah lokasi sesuai untuk mengembangkan lagi perusahaannya.

Kini, D’ Naly Herbs Garden beroperasi di Km2, Jalan Tamparuli-Kota Kinabalu, dekat sini, dengan terdapat lebih 300 spesies herba dan bunga sekaligus menjadikan ia sebagai taman herba pertama di Tamparuli yang diusahakan oleh mereka suami isteri tanpa bantuan tenaga pekerja.

“D’ Naly Herbs Garden ditubuhkan dengan memberi tumpuan menghasilkan jamu serta pil herba untuk kesihatan dan kecantikan wanita sebagai produk utama yang dipasarkan di seluruh Sabah.

“Semuanya bermula menerusi pengalaman saya pernah menderita sakit hampir tujuh tahun selepas melahirkan anak kedua dan berjaya sembuh. Saya menggunakan perubatan tradisional dengan minum jamu buatan sendiri dalam tempoh seminggu,” kata ibu empat anak itu kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Bermula dengan hanya sembilan jenis bahan, kini jamu dan pil herba keluaran D’ Naly Herbs Garden mengandungi 24 campuran termasuk akar kayu serta buah-buahan yang mendapat kelulusan MARDI dan produk-produk dikeluarkan termasuk serum untuk kulit muka, skrub badan, pelembab bibir dan bedak sejuk.

Bahan-bahan seperti kunyit, halia, delima, hempedu bumi atau ‘andrographis paniculata’, selasih atau ‘ocimum basilicum linn’, serai wangi atau ‘cymbopogon nardus’ dan siak-siak atau ‘daniella ensifolia’ pula digunakan untuk menghasilkan produk jamu herba, katanya.

Naly berkata sebahagian besar herba ditanam dalam 100 pasu besar dan selebihnya ditanam di tepi pagar dan lebih unik lagi taman herba itu diusahakan dalam bangunan tidak berbumbung bagi memudahkan tanaman herba mendapat sumber cahaya matahari dan air hujan mencukupi.

Mengulas lanjut produk jamu herbanya, Naly berkata, meskipun dalam keadaan serba kekurangan daripada segi peralatan, namun, D’ Naly Herbs Garden masih berupaya menghasilkan lebih 200 botol jamu dan pil herba sebulan, dijual menerusi dalam talian dan pasar tamu antara RM18.90 hingga RM36.90 sebotol.

Naly berkata beliau mendapatkan pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia bagi perusahaannya itu, namun ia tidak mencukupi untuk membeli peralatan mesin memproses bahan dan menyebabkan penghasilan produk terpaksa dilakukan secara manual.

“Selain mempelajari kaedah pembuatan jamu menerusi pembacaan serta kajian sendiri, saya mewarisi pengetahuan bidang ini daripada ibu, Nasiah Lokoman, 60, yang terkenal sebagai pengeluar jamu dari Kampung Patau, Tambunan,” katanya.

— BERNAMA