Pilih Bahasa

Dakwaan Bersatu daftar ahli Umno tanpa pengetahuan mereka tidak berasas

KOTA KINABALU: Kenyataan pemangku Ketua Bahagian Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa terdapat ahli-ahli Umno yang didaftarkan sebagai ahli Bersatu tanpa pengetahuan mereka adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut setiausaha badan pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee proses pendaftaran keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersandarkan kepada pendekatan inklusif yang membuka ruang kepada semua pihak yang memenuhi syarat keahlian untuk mendaftar sebagai ahli.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Gambar Fail SNT

“Namun begitu, parti mempunyai mekanisme tertentu untuk memastikan ahli yang berdaftar adalah secara sukarela.

“Berbeza dengan Umno, Bersatu sentiasa meletakkan ‘kualiti ahli’ sebagai keutamaan berbanding ‘kuantiti ahli’,” katanya dalam satu kenyataan.

Ronald berkata daripada membuat tuduhan tidak berasas, adalah lebih baik Abdul Rahman sebagai mantan Pengarah Komunikasi Strategik BN PRU14 belajar daripada pengalaman.

“Adalah lebih afdal beliau menumpukan sepenuh masa memulihkan Umno berbanding mempersoalkan gerak kerja Bersatu Sabah sungguhpun saya yakin kenyataan tersebut dibuat kerana ‘keterujaan’ beliau melihat sambutan terhadap Bersatu di Sabah khususnya di Tuaran.

“Perkara yang mungkin beliau boleh pertimbangkan sebagai fokus adalah untuk memastikan Mesyuarat-Mesyuarat Perwakilan Bahagian Umno di Sabah yang sedang berlangsung dilaksanakan dengan mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Parti.

“Seingat saya, undang-undang parti mereka menetapkan mesyuarat tersebut perlu dihadiri oleh para perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat di peringkat cawangan.

“Ini bermakna, para perwakilan yang hadir perlu terlebih dahulu dipilih dalam proses dan siri ‘mesyuarat’ yang wajib diadakan di peringkat cawangan terlebih dahulu. Saya yakin Abdul Rahman cukup sedar apa yang berlaku,” katanya.

Berhubung penyertaan semula mantan Ketua Umno Bahagian Papar Datuk Abdul Rahim Ismail ke dalam parti Umno, Ronald berkata Bersatu Sabah menghormati pendirian beliau dan mengucapkan selamat berjuang.

“Penyertaan ke dalam Bersatu adalah atas hak dan keputusan setiap individu. Perlu diingat, kemasukan ke dalam Bersatu adalah secara sukarela dan tanpa syarat atau jaminan jawatan. Perkara ini sering ditegaskan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad,” tambahnya lagi.

Beliau turut yakin rakyat tidak mudah percaya dengan dakwaan bahawa Bersatu Sabah mengamalkan ‘selective-accommodation’ hanya kerana tidak dapat memenuhi kehendak individu tertentu untuk menduduki sesuatu jawatan yang dituntut seperti Ketua Bahagian Penaja.

Jelasnya, pelbagai faktor diambil kira dalam penentuan kepimpinan di peringkat awal penajaan untuk memastikan Bersatu dilihat sebagai platform politik yang relevan di Sabah.

“Antaranya adalah penerimaan rakyat terhadap seseorang pemimpin dalam pilihan raya yang lepas yang diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya. Bersatu mengamalkan sistem demokrasi yang jauh lebih inklusif dan mereka yang ikhlas berjuang boleh menawarkan diri untuk sebarang jawatan dalam proses pemilihan,” katanya.

Ronald berkata seorang pemimpin yang berjiwa besar akan sentiasa bersedia untuk memberi ruang kepada barisan kepimpinan baharu.

“Berpuluh tahun kita diangkat dan disokong oleh mereka yang di bawah sebagai pemimpin dan akan tiba masa untuk kita pula terbuka untuk membantu dan menyokong pemimpin lain, apatah lagi pemimpin yang terbukti mendapat kepercayaan rakyat melalui pilihan raya.

“Sebagai pemimpin, kita bukan hanya bersedia untuk memimpin, tetapi bersedia untuk dipimpin. Para pemimpin dan ahli Bersatu Sabah perlu bermula dan menjadikan prinsip ini sebagai pegangan dan menjadikan apa yang berlaku dalam organisasi lain sebagai teladan,” katanya.-SabahNewsToday