Pilih Bahasa

Dakwaan kerajaan larang anggota SB menghadiri acara rasmi KM, propaganda jahat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan melarang anggota polis dari cawangan khas membuat liputan acara Ketua Menteri.

Pejabat Akhbar & Penerbitan Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan hari ini menegaskan Ketua Menteri tidak pernah mengeluarkan arahan khusus melarang pegawai Cawangan Khas untuk menghadiri acara rasmi beliau.

Malah ianya bukan dasar kerajaan sekarang untuk menghalang sesiapa pun daripada menghadiri acara umum dan persidangan media Ketua Menteri, kerana apa jua yang diungkapkan pada sidang akhbar adalah maklumat umum, menurut kenyataan tersebut.

Berikutan itu, terdapat persoalan kini sama ada wujud percubaan terancang oleh seorang blogger dan juga media tertentu untuk menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah, kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan Pejabat Akhbar Ketua Menteri adalah dipercayai blogger ini cuba untuk mengapi-apikan dan menimbulkan isu dengan tujuan mengganggu gugat hubungan Kerajaan Sabah dan Polis Diraja Malaysia.

Seterusnya ia mewujudkan rantaian tindak balas mengelirukan dalam media dan menarik ahli-ahli politik untuk mengeluarkan kenyataan.

Oleh itu, adalah jelas bahawa blogger tersebut telah mengeluarkan sangkaan jahat dengan niat untuk mencetus hubungan buruk di antara Kerajaan Warisan dan Polis Diraja Malaysia.

“Malangnya, pemerhatian kami mendapati bahawa sebuah portal berita turut menyebarkan berita berdasarkan cerita yang disebarkan oleh blogger yang mempunyai agenda dan motif peribadi,” kata kenyataan Pejabat Akhbar Ketua Menteri.-SabahNewsToday