Pilih Bahasa

DAKWAAN KONONNYA PETER ANTHONY ELAK KE MELALAP TAKUT LONTONG, AIBKAN MASYARAKAT MURUT: MAMAGUN

Oleh Chris Maskilone

Screenshot laporan portal tersebut yang menimbulkan kemarahan masyarakat Murut. Gambar Fail SNT

TENOM: Sebuah NGO mahu portal Sabahkini2.com memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut atas laporan mengaitkan kaum itu dengan amalan ilmu sihir sekaligus memberi gambaran negatif terhadap mereka.

Pertubuhan Mamagun Sabah mendakwa masyarakat Murut di Sabah amat kecewa dan tersinggung dengan laporan portal tersebut.

Presiden Pertubuhan Mamagun Sabah (Mamagun), Rudy Sulaiman Mairi berkata laporan Sabahkini2.com bertarikh 4 September yang kini tular di media sosial antara lain mendakwa kononnya Menteri Pembangunan Infrastruktur yang juga ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony selalu mengelak untuk datang ke Melalap selepas PRU14 kerana takut terkena “lontong.”

Penduduk dominan di kawasan Melalap adalah masyarakat Murut.

Menurut laporan itu yang berdasarkan komentar seorang bernama James, 46 yang mendakwa dirinya sebagai pengundi DUN Melalap, “lontong” adalah perbuatan sihir yang menyebabkan seseorang itu buncit perut secara tiba-tiba.

Rudy Sulaiman Mairi. Gambar SNT/Ehsan Mamagun

 

Rudy menyifatkan laporan portal itu sebagai fitnah dan berniat jahat untuk mengaibkan masyarakat Murut pada keseluruhannya.

Menurut beliau, di abad ke-21 ini seperti juga masyarakat lain, kaum Murut sudah mencapai kemajuan dan berpelajaran.

“Cerita mengenai sihir atau lontong yang dipercayai lahir di zaman batu dahulu sudah tidak ada lagi pada zaman sekarang. Jadi, mengapa perlu diada-adakan?,” tanya beliau.

“Masyarakat Murut amat tersinggung dengan laporan portal Sabahkini2.com dan  Pertubuhan Mamagun Sabah meminta Sabahkini2.com agar tidak menggunakan isu-isu karut berkaitan masyarakat Murut bagi tujuan mengkritik ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony.

“Pilihanraya Umum ke-14 sudahpun berlalu, rakyat telah menentukan siapa wakil rakyat yang sah secara demokrasi melalui peti undi … berilah Datuk Peter peluang untuk mentadbir dan bukan mempersendakan suku kaum Murut untuk memburuk-burukkan atau menakut-nakutkan beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Mamagun akan membuat laporan polis untuk meminta Sabahkini2.com memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut.-SabahNewsToday