Pilih Bahasa

DANA RM200 RIBU BANTUAN PENYELENGGARAAN TIGA SEKOLAH DI SEMPORNA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Dr Maszlee bergambar bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya Semporna semasa lawatan beliau ke daerah itu. – Gambar SNT / Ihsan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah

SEMPORNA: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM200,000 kepada tiga buah sekolah di daerah ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya yang menerima dana RM100,000 manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Omadal dan SK Pulau Mabul masing-masing menerima dana berjumlah RM50,000.

“Peruntukan itu diharap dapat membantu membaik pulih atau menyelenggara setiap sekolah berkenaan.

“Kementerian juga bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi terutama dalam membaik pulih sekolah daif sama seperti kerjasama KPM dengan kerajaan negeri Sarawak,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tiga sekolah itu di sini hari ini.

Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul menyambut mesra kehadiran Dr Maszlee ke sekolah berkenaan. – Gambar SNT / Ihsan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Yusof Yacob; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin dan Pengetua SMK Bugaya, Rozita Anjuh.

Mengenai lawatan itu, Dr Maszlee berkata rombongan beliau bersama pegawai kanan kementerian bertujuan meninjau keadaan sekolah luar bandar di Sabah termasuk di kawasan pulau.

Menariknya beliau juga sempat meluangkan masa mengajar murid-murid di sekolah yang dilawati sambil dibantu Fellow Teach For Malaysia (TFM) bagi merasai serta menjiwai bagaimana tugas guru di sekolah luar bandar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan TFM yang menghantar lima felo untuk mengajar Bahasa Inggeris di SMK Bugaya.

“Kementerian Pendidikan menggalakkan pembabitan pihak swasta dengan kerajaan terutama dalam meningkatkan kualiti dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” ujarnya. – SabahNewsToday