Pilih Bahasa

DAP alu-alukan sokongan Warisan di Sandakan

GEORGE TOWN, 8 April (Bernama) — DAP mengalu-alukan sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang bersedia membantu parti itu dan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan pada pilihan raya kecil (PRK) yang ditetapkan 11 Mei ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

“… dan pengumuman akan dibuat sekiranya calon telah dikenal pasti (pada waktu itu),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Lim, DAP Pusat akan menentukan calon untuk PRK itu selepas mengambil kira cadangan dan pandangan DAP Sabah.

Semalam, Mohd Shafie dilaporkan berkata Warisan akan membantu DAP mempertahankan kerusi tersebut bagi PH. 

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan 27 April untuk penamaan calon dan 7 Mei pengundian awal.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta Pengerusi DAP negeri, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Mengulas perkara lain, Lim yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia belum memutuskan untuk menerima tawaran RM1.6 bilion yang diterima bagi Bangunan Malaysia di Hong Kong kerana kerajaan mahu melaksanakan tender terbuka agar dapat menjualnya pada harga tertinggi.

Pada masa sama, beliau membidas Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang disifatkannya berdolak-dalik dengan meminta laporan penilaian aset selepas Lim menyahut cabarannya dengan mendedahkan tawaran sebuah firma guaman berhubung hasrat membeli bangunan itu. 

Sebelum ini, kedua-dua mereka saling berbalas kenyataan berhubung penjualan bangunan tersebut dengan masing-masing menggesa lawan meletak jawatan.

— BERNAMA