Pilih Bahasa

DAP pertahankan kerusi parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 undi

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: DAP berjaya mempertahankan kerusi parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 undi.

Calon DAP, Vivian Wong  anak kepada mendiang ahli parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Thien Fatt mendapat 16,012 undi berbanding calon terdekat dari PBS, Datuk Linda Tsen, 4,491 undi.

Vivian Wong Shir Yee mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai pemenang PRK Sandakan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Calon Bebas, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi, Chia Siew Yung 178 undi dan Sulaiman Abdul Samat 126 undi.

Sebanyak 234 undi rosak manakala 18 kertas undi tidak dikembalikan.

Vivian Wong bersama ibunya Datin Florence Chong dan pemimpin Pakatan Harapan selepas pengumuman keputusan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jumlah peratusan yang keluar mengundi amat rendah dengan hanya 54.44 peratus daripada 39,684 pengundi berdaftar.

Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pilihanraya PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain selepas ketibaan calon DAP di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi SMJK Tiong Hua Batu Satu Setengah di sini.

Turut hadir Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin DAP lain.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.-SabahNewsToday