Pilih Bahasa

DAP TIDAK BERHAK HALANG BERSATU KE SABAH

KOTA KINABALU:  DAP Sabah tidak mempunyai hak untuk menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melebarkan sayap ke Sabah.

Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan. Gambar SNT/Ehsan Umno Sabah

Mantan Ketua Umno Bahagian Silam, Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan
berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti politik bebas untuk menubuhkan cawangan mereka.

“Jika parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti DAP, Part Keadilan, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Amanah dan Umno boleh dan telah mengembangkan sayap ke Sabah, maka tidak ada sebab Bersatu tidak dapat berbuat demikian.

“DAP Sabah yang menyokong pendirian Warisan agar Bersatu tidak melebarkan sayap ke negeri ini, jelas mengamalkan politik yang tidak matang serta bertentangan dengan sistem demokrasi,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hakim mengulas menyataan Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menyokong pendirian Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal agar Bersatu tidak melebarkan sayap ke Sabah.

Abdul Hakim yang mengisytiharkan keluar daripada Umno bersama-sama Wakil Rakyat dan pemimpin Umno Sabah yang diketuai oleh mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah,  Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, mempersoalkan motif DAP Sabah yang menentang hasrat Bersatu masuk ke Sabah.

“Di mana logiknya DAP yang berpusat di Semenanjung Malaysia boleh ke Sabah, sementara Bersatu pula ditentang oleh DAP?

“Sekiranya Bersatu tidak dibenarkan masuk Sabah,maka eloklah parti-parti lain dari Semenanjung Malaysia juga berbuat demikian dan balik sahaja ke Semenanjung.

“Sistem politik apa yang diamalkan oleh DAP? Apa sebenarnya yang dibimbang oleh DAP Sabah berhubung kemasukkan Bersatu ke Sabah,’ soalnya.

Menurut Abdul Hakim, rakyat Sabah sepatutnya diberi kebebasan dan hak untuk memilih parti politik yang ingin mereka sertai dan sokong.-SabahNewsToday