Pilih Bahasa

DARYL, DAYANG IRSYADHANIA, MISNALIA WAKIL SABAH BINTANG KECIL KEBANGSAAN

Oleh Alfred Petrus

Kenny Chua (belakang, dua kiri) bergambar bersama-sama peserta akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Daryl Damian, Dayang Irsyadhania Iraril dan Misnalia Muhinin berjaya melayakkan diri mereka ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan selepas diumumkan sebagai tiga peserta terbaik dalam pertandingan akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018, hari ini.

Penerbit Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018 Dayang Marni Awang Matusin berkata, ketiga-tiga peserta akan mewakili Sabah pada pertandingan peringkat akhir yang akan diadakan di Kuching pada November.

Daryl (kiri), Misnalia (tengah) dan Dayang Irsyadhania (kanan) merakamkan gambar kenangan selepas diumumkan sebagai tiga peserta terbaik bagi mewakili Zon Sabah ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya, pada Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018, Daryl, Dayang Irsyadhania dan Misnalia yang mewakili daerah Kota Kinabalu, Papar serta Sandakan turut bersaing dengan tiga lagi peserta akhir lain iaitu Shawnia Welonia Jerry (Penampang), Roddy Dezlly Roger (Penampang) dan Mira Syakira Said (Kota Kinabalu).

“Ketiga-tiga peserta terbaik ini membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah Kenny Chua yang mewakili Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

“Manakala, Shawnia, Roddy dan Mira turut membawa pulang hadiah saguhati bernilai RM1,000, trofi serta sijil penyertaan setiap seorang.

“Dalam pertandingan berkenaan, keenam-enam peserta akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018 mempersembahkan sebuah lagu solo dalam bahasa Melayu dan satu lagu dalam bahasa Inggeris yang dinyanyikan secara ‘Battle’,” katanya.

Enam peserta akhir Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018. Gambar SNT/Alfred Petrus

Sementara itu, jelasnya, pada pertandingan Peringkat Akhir Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan, Daryl, Dayang Irsyadhania dan Misnalia akan mewakili Zon Sabah ke peringkat Berambeh, Pertama, Kedua dan Konsert Kemuncak.

Menurutnya, objektif penganjuran pertandingan berkenaan adalah bagi mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak berumur 11 tahun dan kebawah yang berkualiti dalam menyemarakkan industri seni tanah air.

“Ini juga merupakan titik permulaan untuk kanak-kanak menceburi bidang seni.

“Pertandingan Bintang Kecil adalah antara pertandingan yang telah melahirkan bekas Johan Bintang Kecil dari Sabah seperti Esther Applunius, Siti Nor Syahidah Yusuf, Heidi Vannesa Maruning, Presley Petrus, Nur Shadina Nadiah Jamiridin, Nur Shahirah Azuwa Shiron, Mohd Imanuddin Supangat dan Feli Stacy Paimin,” jelasnya.

Terdahulu, kesemua peserta perlu menghadiri ujibakat yang dijalankan di seluruh negeri bagi melayakkan diri ke peringkat Zon Sabah.

Dayang Marni berkata, seramai 145 bakat cilik telah menghadiri ujibakat Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2018. -SabahNewsToday