Pilih Bahasa

Data terbuka bakal cipta nilai sosial, ekonomi negara: Yusof

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri percaya penyediaan data terbuka bakal mencipta nilai sosial dan ekonomi dalam negara melalui pelbagai inisiatif.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata dengan penggunaan data terbuka mampu mengurangkan pelbagai kos perkhidmatan kerajaan mahupun sektor swasta.

Dr Yusof menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Jika kita menerapkan penggunaan data terbuka ini, sudah pasti mampu mengurangkan kos dalam penyediaan yang sedia ada perkhidmatan oleh kerajaan dan swasta sektor iaitu melakukan perkara yang sama dengan kos yang kurang.

“Ia juga membolehkan perkhidmatan baharu dan berkualiti yang lebih baik yang mana secara tidak langsung menyumbang kepada penambahbaikan dalam urus tadbir serta perkhidmatan kerajaan melalui peningkatan akauntabiliti dan penglibatan warganegara.

Dr Yusof bergambar dengan para pemenang Sabah Data Fest. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Kedua-duanya melahirkan kepercayaan yang lebih besar terhadap kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sabah Data Fest 2019, di Wisma Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.

Jelasnya walaupun kerajaan negeri tidak melihat data terbuka sebagai nilai komersial, namun penting bagi orang luar mahupun pelabur menilai kemampuan negeri untuk mereka bertapak di Sabah.

Dr Yusof tiba di Majlis Perasmian Penutupan Sabah Data Fest 2019 di Wisma Bandaraya di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Sebab itu saya nyatakan, kementerian ini mesti ada data terbuka kerana sebagai contoh sebuah syarikat berpotensi mahu membuka kilang di sini, mereka mahu tahu berapa kepakaran yang ada.

“Jika data ini susah diperoleh, maka sudah pasti pelabur ini akan pergi ke negara lain yang boleh mempercepatkan urusannya.

“Ertinya, jika kita tidak ada data yang baik, pelabur tidak akan datang ke tempat kita. Dalam pada itu, saya harap ia akan menjadi amalan kita untuk sediakan data terbuka untuk sistem data atau digital yang baik terhadap kawasan perindustrian dan pendidikan di Sabah,” jelasnya. -SabahNewsToday