Pilih Bahasa

Datuk dan cucu ditemui lemas di laut

Oleh Alfred Petrus

KUALA PENYU: Aktiviti menangkap ikan antara datuk dan cucu pada Isnin bertukar tragis apabila ditemui lemas awal pagi hari ini di kampung Tempurung.

Mangsa Ajiz Halis, 48, dan Halid, 14, ditemui pada hari kedua dilaporkan hilang kira-kira 10 meter dari pesisir pantai pada pukul 7.15 pagi.

Keluarga mangsa meratapi pemergian kedua-dua mangsa yang maut dalam insiden tersebut. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Manakala bot yang dinaiki mangsa ditemui terikat pada sauh di kedudukan tiga kilometer dari pesisir pantai.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dipercayai keluar ke laut sekitar pukul 7 pagi pada Isnin dan tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang hari.

Lalu, penduduk kampung cuba untuk mencari mangsa, tetapi gagal dan hanya menjumpai pendayung bot berkenaan.

Dalam pada itu, penduduk kampung menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu kira-kira pukul 6.14 petang berhubung kes dua orang lelaki dipercayai hilang di laut semasa menangkap ikan.

Mangsa dibawa ke darat selepas ditemui. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Bertindak atas makluman diberikan BBP Kuala Penyu bergegas ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer menggunakan sebuah jentera.

Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (Sar) di persisiran pantai sehingga pukul 7.42 malam sebelum operasi ditangguhkan.

Kemudian operasi Sar berkenaan disambung semula seawal pukul 6.30 pagi hari ini yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) Dua, BBP Kuala Penyu Rafie Pg Bahar bersama 14 orang anggotanya dengan bantuan empat orang Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Berangkok.

Seterusnya kedua-dua mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira 45 minit selepas operasi hari kedua dimulakan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke darat dan diserahkan oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 10.10 pagi. -SabahNewsToday