Pilih Bahasa

DBKK rancang warta undang-undang kecil pengasingan sisa buangan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pewartaan undang-undang kecil pengasingan sisa buangan bakal dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam usaha mendidik masyarakat lebih berdisiplin berkaitan pengurusan sisa buangan.

Ketua Pengarah DBKK Noorliza Ag Alip berkata pewartaan berkenaan hanya dilaksanakan selepas melihat hasil percubaan yang dijalankan di tiga kawasan perumahan menampakkan hasilnya.

Noorliza (kanan sekali) bersama Jaujan (empat dari kanan) dan tetamu kenamaan lain menunjukkan buku Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu yang turut di lancarkan sempena Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Tiga lokasi ini adalah Taman Greenview, Taman Jindo dan Kondominium Alam Damai.

“Percubaan di tiga taman perumahan ini dilaksana dengan bantuan konsultasi sejak tahun lalu. Setakat ini, percubaan di semua lokasi dilakukan menunjukkan perkembangan positif.

“Bagaimanapun, undang-undang kecil ini hanya dapat diwartakan selepas semua perkara berkaitan dimuktamadkan. Ia termasuklah penyediaan kemudahan infrastruktur untuk pelaksanaannya.

“Beri kami ruang dan masa untuk memuktamadkan beberapa perkara terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, dekat sini, hari ini.

Konvensyen terbabit dirasmikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau menjawab soalan pihak media ketika ditanya mengenai program pengasingan sisa buangan yang dilaksana DBKK seiring dengan inisiatif ‘KK Moving Forward’.

Dalam pada itu, Noorliza berkata pihaknya turut merancang memperluaskan sistem pengasingan sisa buangan berkenaan ke kawasan setinggan supaya penduduk tinggal di kawasan itu boleh menguruskan sisa buangan masing-masing secara lebih teratur.

Sementara itu, Jaujan berkata pengurusan sampah yang teratur adalah bermula daripada kesedaran masyarkat itu sendiri tanpa hanya bergantung semata-mata kepada kerajaan.

“Walaupun wujud sistem dan perundangan, sekiranya masyarakat sendiri tidak mempunyai kesedaran ke arah demikian, ia umpama tidak berguna.

“Lawatan ke Kalimantan baru-baru ini menampakkan pengurusan sampah yang baik dan teratur. Keadaan ini menunjukkan masyarakat di sana mempunyai kesedaran tinggi terhadap kebersihan persekitaran.

“Tidak wajar sekiranya masyarakat kita mempunyai sikap untuk membiarkan tanggungjawab kebersihan itu kepada kerajaan semata-mata. Kalau persekitaran bersih, semua rakyat akan hidup dalam keadaan sihat,” katanya. -SabahNews Today