Pilih Bahasa

Deaigo lebur rekod Saga IX pertama 400m lari berpagar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Atlet Kota Marudu, Deaigo Emanuel Wayring berjaya memecahkan rekod kejohanan Sukan Sabah (Saga) IX dalam acara 400 meter lari berpagar apabila mencatat masa terbaik 55.22 saat dalam acara akhir di Kompleks Sukan Nabawan.

Catatan masa Deaigo itu sekaligus turut memadam rekod kejohanan bagi acara itu yang diciptanya pada saingan separuh akhir dengan masa 55.83s.

Ahli Lembaga Sukan Sabah, Aliudin Jumaat (kanan) menyerahkan maskot Saga IX kepada Deaigo Emanuel Wayring yang meraih emas dalam acara 400 meter lari berpagar lelaki. – Gambar SNT/Ihsan KBS

Rekod kejohanan sebelum ini dipegang oleh atlet Ranau iaitu Nadhir Nail Sarjo yang mencipta 55.98s pada 2017.

Pingat perak bagi acara itu dimenangi Elvin Esak dari Ranau yang mencatat 56.97s manakala gangsa diraih Muhammad Saiful Nizam Ramlan yang mewakili Tawau dengan masa 57.24s.

Sementara itu dalam acara 400m lari berpagar wanita, emas milik wakil tuan rumah Aveyenda Aron dengan catatan 70.87s menewaskan atlet Ranau, Golaria Eilisca Joeneh (73.08s) yang terpaksa berpuas hati meraih perak dan gangsa milik atlet Tawau, Siti Nurnatasya Abdul, 74.18s.

Atlet Keningau, Aveyenda menjuarai acara 400m lari berpagar wanita di dalam acara akhir yang diadakan di Kompleks Sukan Nabawan. – Gambar SNT/Ihsan KBS

Dalam acara akhir 3000 meter pula catatan masa 11m 51.64s membolehkan atlet Beaufort, Daveiyn Joyce Hobalan memenangi emas.

Daveiyn menewaskan dua pesaingan utamanya iaitu Britanny Isabelle Boilis dari Kota Kinabalu yang mencatat 12m 03.97s dan Elyza Lai Nyuk Len (Kota Marudu) dengan masa 12m 31.41s. – SabahNewsToday