Pilih Bahasa

DEMI UNITED JOHAN DEBAT PIALA PENGETUA KKTM 2019

KOTA KINABALU: Demi United dari Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai johan pertandingan Debat Piala Pengetua KKTM 2019 yang berlangsung di dewan serbaguna kolej kediaman itu di sini, baru-baru ini.

Pendebat Demi United mengatasi pasukan debat dari Kolej Kediaman Excellent (KKE) UMS pada peringkat akhir kejohanan untuk mengungguli pertandingan bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Dr. Nizam (empat kiri) menyampaikan piala kejuaran kepada pasukan debat Demi United KKTM.Gambar SNT/Ihsan UMS

Bagi kategori sekolah menengah, johan dan naib johan masing-masing disandang oleh Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) B dan SMESH A.

Majlis penyampaian hadiah berupa wang dan piala kepada para pemenang disempurnakan Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Terdahulu dalam ucapannya Dr. Mohamad Nizam berkata, program itu dianjurkan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa IPTA dan para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan menguasai seni orator, terutamanya seni perdebatan.

“Selain itu, ia bagi membantu para peserta melatih daya pemikiran yang kritis dan kreatif dalam menjana idea-idea bernas.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan saya berharap agar penganjuran program seumpama ini akan berterusan seiring dengan saranan  Menteri Pendidikan Malaysia yang mahukan para pelajar sentiasa aktif dalam acara yang melibatkan pengucapan awam,” katanya.

Antara aksi debat antara Demi United KKTM (meja kanan) dan pasukan KKE (meja kiri) pada pertandingan peringkat akhir kategori IPTA.Gambar SNT/Ihsan UMS

Program selama dua hari itu merupakan anjuran Exco Akademik Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) KKTM dengan penyertaan sebanyak 20 pasukan dari IPTA dan sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu.

Hadir sama Pengarah Program,  Muhammad Haziq Abdul Rahim, dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Muhd Jivean Johan Wira.-SabahNewsToday