Pilih Bahasa

Denda RM50 ribu dan penjara jika sebar video lucah tujuh remaja terbabit kes rogol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Orang ramai digesa supaya berhenti menyebar dan menyimpan video seks membabitkan tujuh pelajar tingkatan lima yang disyaki terbabit kes rogol pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di sini, Jumaat lalu.

Video seks berkenaan berdurasi satu minit 36 saat itu kini tular di media sosial Whatsapp menunjukkan seorang pelajar perempuan melakukan hubungan seks dan seks oral terhadap beberapa pelajar lelaki yang masih berpakaian sukan sekolah.

ACP Peter Umbuas. Gambar Fail SNT

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya ada menerima aduan awam berhubung penyebaran video berkenaan namun belum dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan kes rogol terbabit atau sebaliknya.

“Video itu sudah diserahkan kepada bahagian forensik untuk siasatan lanjut bagi mengetahui kesahihannya.

“Bagaimanapun saya menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan atau menyimpan video terbabit” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang dikesan menyebar video seks akan dikenakan tindakan perundangan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

“Bagi kesalahan menyimpan video lucah, orang ramai boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali , jika sabit kesalahan.

“Saya berharap orang ramai tidak mengganggu saksi sedia ada termasuk mangsa dan suspek memandangkan mereka masih belajar serta sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ,” katanya.

Jelasnya sehingga kini enam orang saksi sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

“Kita turut menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa dalam mengatasi masalah ini kerana saya difahamkan pelajar perempuan berkenaan adalah pelajar pintar.

“Ini termasuklah membabitkan penempatan sekolah baharu yang sesuai untuk mangsa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mangsa dijanjikan imbuhan berupa sebuah telefon pintar oleh suspek jika melakukan hubungan seks tersebut, Peter menjelaskan pihaknya belum menerima maklumat berkaitan.

“Apa yang ingin saya tegaskan, mana-mana hubungan seks membabitkan remaja bawah 16 tahun akan dikategorikan sebagai rogol sama ada dengan kerelaan mereka atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Peter turut mengarahkan pegawai perhubungan sekolah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk turun padang bagi menerangkan kesalahan jenayah terutamanya membabitkan seksual kepada pelajar terutamanya di sekolah menengah.

Jumaat lalu, tujuh pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan disyaki terbabit kes rogol pelajar perempuan tingkatan dua, di bilik suis sekolah berkenaan.

Semua suspek ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis jam 3.30 petang sebaik dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian itu.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, seorang guru menemukan mangsa berusia 14 tahun dalam keadaan separuh bogel.

Mangsa memberitahu dua pelajar merogolnya manakala empat lagi suspek meminta mangsa melakukan seks oral.

Seorang lagi mangsa hanya berada di bilik berkenaan dan melihat rakan lain melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.

Bagaimanapun pada Selasa lalu, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik tamat reman selama tiga hari bagi membolehkan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pusat peperiksaan masing-masing.- SabahNewsToday