Pilih Bahasa

Dendam kesumat punca enam sekeluarga mati ditembak

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dendam kesumat dipercayai menjadi punca enam sekeluarga ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Siasi, selatan Filipina untuk menyambut Maulidur Rasul pada 6 November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, motif pembunuhan kerana dendam lama yang mana anak suspek dibunuh pada suatu ketika dulu dan itu punca utama suspek bertindak menembak mati semua mangsa.

Datuk Omar Mammah. Gambar Fail SNT

“Suspek yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu sudah dikenal pasti.

“Kita sudah maklumkan kepada rakan sejawat di negara jiran (Filipina),” katanya ketika ditemui media pada Program Komuniti Kepolisian di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di sini hari ini.

Omar berkata hasil bedah siasat yang dilakukan pada 11 November lalu mendapati terdapat kesan tembakan pada badan semua mangsa.

“Polis mendapatkan perintah mahkamah di Semporna untuk mengeluarkan jasad enam mangsa yang dikubur di Pulau Denawan untuk bedah siasat.

“Terdapat kesan tembakan pada badan semua mangsa yang mati dan salah satu mayat mangsa terdapat tiga, empat kesan tembakan pada jasadnya,” katanya.

Semua mayat mangsa kemudian dikebumikan semula pada 13 November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah beramah mesra bersama penduduk. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Omar berkata sebelum ini menyatakan dua mangsa terselamat namun sebenarnya enam mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

“Empat kanak-kanak yang terselamat berada di bot lain manakala dua lagi dalam bot yang diserang oleh suspek,” katanya.

Pada 5 November lalu, enam sekeluarga dari Pulau Denawan, Semporna dikatakan dalam perjalanan ke Siasi, selatan Filipina, untuk menyambut Maulidur Rasul di sana dengan menaiki sebuah bot.

Ketika dalam perjalanan waktu malam, bot dinaiki semua mangsa ditembak sekumpulan individu hingga menyebabkan enam mangsa termasuk kanak-kanak maut.

Mayat semua mangsa ditemui di Siasi, selatan Filipina pada 6 November lalu sebelum semua mangsa dibawa balik pada 7 November dan dikebumikan di Pulau -SabahNewsToday