Pilih Bahasa

DENTUMAN KUAT DISANGKA GURUH

Oleh Mohd Adam Arinin

Sepasukan polis menjalankan siasatan di lokasi sebuah kedai emas yang diletupkan di Kompleks Segama, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dentuman kuat serta gegaran mengejutkan beberapa penyewa bilik sekitar Kompleks Segama apabila sebuah kedai emas diletupkan pada jam 2.30 pagi tadi.

Seorang penyewa yang hanya dikenali sebagai Cindy, 32, berkata ketika kejadian beliau menyangkakan dentuman kuat itu hanyalah bunyi guruh.

“Saya juga merasakan gegaran yang kuat sehingga katil saya bergoncang. Pada masa yang sama, saya berfikir kejadian gempa bumi sedang berlaku.

Anggota polis dari Unit K9 sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi sebuah kedai emas yang diletupkan di Kompleks Segama, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tidak lama selepas itu, beberapa sistem penggera kereta yang parkir di bawah berbunyi lalu saya segera melihat keluar dan terkejut melihat kepulan ‘kabus’ tebal menyelubungi kawasan sekitar,” katanya yang menyewa di tingkat satu bangunan kedai bersebelahan dengan kedai emas terbabit.

Dalam keadaan panik, dia segera memaklumkan kepada rakannya dan orang ramai mula berkumpul di lokasi ketika itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika berada di lokasi berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.45 pagi memaklumkan kejadian letupan berkenaan.

Sepasukan polis menjalankan siasatan di lokasi sebuah kedai emas yang diletupkan di Kompleks Segama, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pihak polis yang dikerah ke lokasi melaporkan sebuah kedai emas tingkat bawah di penjuru bangunan Kompleks Segama di sini dipercayai telah diletupkan.

“Bahagian dalam dan luar kedai didapati mengalami kerosakkan yang teruk akibat dari impak letupan yang kuat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Habibi, pemilik kedai emas terbabit kini berada di luar negara.

“Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati tidak ada sebarang kehilangan barang kemas di kedai terbabit.

Kenderaan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Forensik IPK Sabah dilihat berada di lokasi kejadian sebuah kedai emas yang diletupkan di Kompleks Segama, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setakat ini pihak polis mensyaki kejadian ini adalah cubaan pecah kedai emas dan motif serangan lain masih disiasat.’ tambahnya.

Tinjauan SabahNewsToday di lokasi kejadian mendapati bahagian luar dan dalam serta kedai berhampiran mengalami kerosakkan akibat ledakan tersebut.

Menurut sumber, terdapat beberapa serpihan paip PVC dijumpai di lokasi kejadian dan dipercayai jenis bahan letupan terbabit dari jenis “pipe bomb”.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Pengesan K9 serta Unit Forensik IPK Sabah turut dilihat berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957. -SabahNewsToday