Pilih Bahasa

Dewan Masyarakat Datuk Salleh Sulong bakal dinaiktaraf

PAPAR: Dewan Masyarakat Datuk Salleh Sulong di sini akan dinaiktaraf dalam masa terdekat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata usaha itu termasuklah menambah baik kemudahan yang masih usang dan belum ada dalam dewan berkenaan.

Jaujan menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang sempena Hari Potensi Jabatan Kemas peringkat Negeri Sabah 2019 peringkat Negeri Sabah. Turut kelihatan Menteri Undang-undang dan Hal-Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar (dua kiri). Gambar SNT/Ihsan Kemas

Katanya, ia penting memandangkan dewan itu menjadi satu keperluan dan kegunaan oleh semua masyarakat di daerah ini.

“Saya sudah mengarahkan pegawai eksekutif Majlis Daerah Papar supaya memanggil bahagian teknikal untuk melihat serta meneliti dari segi penambahbaikan.

“Bukan saja kita pasang penghawa dingin, sudah tentu pendawaian juga perlu dilihat, termasuk kemudahan yang ada dalam dewan ini supaya dapat dilengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Hari Potensi Jabatan Kemas Peringkat Negeri Sabah 2019, di sini semalam.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah itu berkata, selain dewan, pelbagai kemudahan lain di daerah ini juga akan diberi keutamaan dengan memberi maklum kepada pihak berkaitan untuk ditambah baik.

Katanya, ia termasuklah padang awam, pasar umum, jalan raya, lampu dan beberapa keperluan lain yang perlu disegerakan untuk diperbaiki.

“Usaha ini bersesuaian dengan teras kita dalam membangunkan Sabah yang mana kita mahu rakyat terus diberi keutamaan.

“Sudah tentu walaupun hakikat kerajaan kini tengah memulihkan ekonomi, tapi jika itu keutamaan, saya rasa tiada masalah dan kerajaan kita mampu melaksanakan,” jelasnya.

Mengenai Hari Potensi yang dianjurkan oleh Jabatan Kemas setiap tahun itu, beliau berkata ia seiring dengan dasar Kerajaan Sabah baharu yang menjadikan pendidikan sebagai keutamaan.

Sambil memuji usaha berterusan itu, Jaujan berkata kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada mana-mana program melibatkan pendidikan prasekolah terutama Jabatan Kemas di negeri ini.

Justeru, beliau berharap akan lebih banyak program melibatkan ibu bapa, pelajar dan guru tabika dianjurkan bersama bagi memikul tanggungjawab melahirkan generasi muda yang cemerlang dari aspek pendidikan serta tatasusilanya.

Hadir sama ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar dan Pengarah Kemas Negeri Sabah Shahrulnizam -SabahNewsToday