Pilih Bahasa

DIALEK BUNDULIWAN SEBAGAI ASAS DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BKD TEPAT: PAKAR

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penggunaan dialek Bunduliwan sebagai asas pemiawaian dan pembakuan Bahasa Kadazandusun amat bertepatan dan dakwaan bahawa bahasa ini adalah bahasa campuran tidak berasas sama sekali, menurut pakar-pakar Bahasa Kadazandusun (BKD).

“Perkara sebenar adalah kewujudan perkataan bukan daripada dialek Bundu atau Liwan merupakan satu ciri pematuhan terhadap pengisytiharan perjanjian yang telah menyebut bahawa penggunaan dialek Bunduliwan sebagai asas akan diperkaya dengan dialek-dialek lain dalam rumpun Kadazandusun.

“Rumpun Kadazandusun terdiri daripada etnik-etnik Begahak, Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana,  Garo, Ida’an, Kadayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Nabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sungai, Sukang, Tangara, Tatana, Tidong, Tinagas, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon dan Tutung.

“Ini bersesuaian dengan perisytiharan persetujuan di antara Kadazan Dusun Cultural Assosiation dengan United Sabah Dusun Association yang tandatangani pada 11 April 1995,” kata pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rosliah Kiting.

Dr Rosliah Kiting. Gambar fail SNT

Menurutnya, pengajaran Bahasa Kadazandusun telah diusulkan oleh Parti Demokratik Sabah (PDS) dibawah pimpinan Tan Sri Bernard Dompok  pada tahun 1994,  diluluskan oleh Parlimen untuk dilaksanakan pada tahun 1995 dan dimulakan pada 17 Februari 1997.

Penawaran subjek ini selaras dengan peruntukan dalam Akta Pendidikan Negara berkaitan dengan penggunaan Bahasa Ibunda sebagai mata pelajaran di sekolah kerajaan.

Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan pengajaran bahasa kaum asli dengan dua syarat: pertama, jika ada permintaan daripada ibubapa manakala yang kedua jika didapati munasabah dan praktik seperti berikut:

(ii) the indigenous languages shall be made avaiable if it reasonale and practicable so to do and if the parents of at least fifteen pupils in the school so request;

(Education Act 1996, Sec.2)

Peruntukan ini merupakan pengiktirafan bahasa kaum Asli termasuklah kaum Bumiputera di Sabah.

Berdasarkan peruntukan ini maka kerajaan telah meluluskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa kadazandusun  sebagai Bahasa Ibunda Pelajar atau Pupils Own Language (POL) di Sabah sama dengan Bahasa Iban di Sarawak, katanya.

Dr Rosliah menjelaskan sejarah penawaran Bahasa Kadazandusun di sekolah rendah sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi telah melalui perjalanan dalam jangkamasa yang sangat panjang.

“Setelah sembilan tahun ditawarkan di sekolah rendah barulah subjek ini ditawarkan di peringkat sekolah menengah iaitu pada tahun 2005.   Penawaran untuk Penilaian Menengah Rendah bermula pada tahun 2009 dan peperiksaan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2011.

“Sementara penawaran Program Bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris bermula pada tahun 2010 sementara di Institut Pendidikan Guru pada tahun 2012,” katanya.

Institusi lain yang turut menawarkan Bahasa kadazandusun sebagai elektif atau program Add Value adalah Universiti Malaysia Sabah, Sabah University College Foundation serta SIDMA College.

Beliau berkata bahawa pada tahun 2016, terdapat 260 buah sekolah rendah dan  49 buah sekolah menengah di 13 buah daerah dalam negeri Sabah yang menawarkan subjek ini.

Penawaran ini telah meningkat pada tahun 2018 kepada 384 sekolah rendah dengan jumlah pelajar seramai 55,566 orang  manakala di sekolah menengah 45 buah sekolah dengan jumlah pelajar seramai 4,416 orang, katanya sambil menambah ini melibatkan 1,100 guru di sekolah rendah dan 94 di peringkat sekolah menengah.

Bagi UPSI, institusi yang terletak di Tanjung Malim, Perak itu telah melahirkan seramai 160 graduan iaitu 138 mengambil kursus ini sebagai major dan minor manakala selebihnya sebagai elektif.

Terdapat dua buah Institut pendidikan guru yang turut menawarkan progam ini iaitu Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dan Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.

Kedua-dua institusi yang terletak di Sabah ini mempunyai jumlah pelajar seramai 100 orang dengan tenaga pengajar seramai 10 orang pensyarah.

Melihat kepada perkembangan yang sangat positif terhadap perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran  Bahasa Kadazandusun di sekolah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi jelas menunjukkan bahawa bahasa ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, katanya.

Sehubungan dengan itu, Dr Rosliah berkata perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek ini mematuhi perisytiharan persetujuan tersebut dengan menggunakan dialek Bunduliwan sebagai dialek asas pemiawaian dan pembakuan Bahasa Kadazandusun  yang turut diperkaya oleh dialek-dialek lain yang terdapat dalam rumpun Bahasa Kadazandusun.

Hal ini terbukti dalam buku teks sebagai sumber pembelajaran utama di sekolah-sekolah.

Katanya Program Bahasa Kadazandusun di UPSI mengaplikasi sepenuhnya perisytiharan persetujuan ini melalui penerbitan  buku Tinimungan Tangon Kadazandusun (Minah Sintian & Rosliah Kiting, 2016) yang diterbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris & Universiti Malaysia Sabah serta  antologi cerpen  Tumangkabo  (Minah Sintian, 2015) terbitan Muhibbah Sales & Service yang menggunakan pelbagai dialek dalam rumpun Kadazandusun.

Kulit jilid buku TUMANGKABO. Gambar Fail SNT

“Sebagai bahasa yang bersifat dinamik, Bahasa Kadazandusun menerima kata pinjaman seperti juga yang dilakukan oleh bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu seperti istilah-istilah sains yang tidak terdapat dalam bahasa asli  rumpun Kadazandusun.

“Sistem ejaan dan sebutan bagi bahasa pinjaman mengaplikasi sistem dalam Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukan Bahasa Kadazandusun yang menjadi sebahagian dalam rumpun Melayu Proto,” katanya.

Menurut seorang lagi pensyarah kanan UPSI, Dr Minah Sintian penggubalan kurikulum Bahasa Kadazandusun  menggunakan  dialek Bunduliwan mempunyai rentetan dengan  resolusi-resolusi terdahulu seperti Kadazan (Common Generic Identity) Resolution 1961 dan Kadazandusun (Cultural Association) Resolution 1989.

Dr Minah Sintian. Gambar Fail SNT

Malah kajian Summer Institute of Lingusitic (SIL) mendakwa dialek Bunduliwan dikenal pasti oleh pakar penyelidik sebagai dialek yang mempunyai kesalingfahaman yang sangat tinggi antara dialek-dialek  dalam rumpun Kadazandusunik, katanya.

Kajian beliau sendiri melalui tesis peringkat Doktor Falsafah pada tahun 2017 menyokong dakwaan SIL apabila mendapati peratus kognat antara dialek Bunduliwan dengan Tangara (Kadazan) ialah 85.37 peratus  dengan menggunakan daftar kata Swadesh sebanyak 207 perkataan.

Beliau berkata ini bermakna kedua-dua penutur mempunyai kebolehan fahaman berkomunikasi yang tinggi meskipun terdapat perkataan yang tidak dapat difahami kerana perubahan bunyi.

Tambah beliau lagi dapatan ini menunjukkan bahawa penggunaan dialek Bunduliwan sangat tepat sebagai bahasa pemiawaian dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun apabila ianya turut diperkaya dengan dialek-dialek dalam rumpun Kadazandusun.

Dr Norjietta Taisin. Gambar Fail SNT

Manakala itu, Dr. Norjietta Taisin yang juga seorang pensyarah kanan UPSI turut menjelaskan bahawa etnik-etnik dalam rumpun Kadazandusun sepatutnya membantu memantapkan penguasaan bahasa ibunda dengan meningkatkan penggunaan bahasa ini dalam komunikasi seharian.

“Aktiviti-aktiviti yang menggalakkan minat terutamanya generasi muda terhadap bahasa ibunda perlu diaktifkan seperti  pertandingan mencipta puisi, syarahan, pidato dan sebagainya mengguna dialek Bunduliwan atau  dialek masing-masing.

“Keadaan ini akan memantapkan lagi sumber istilah dalam dialek Bunduliwan dari masa ke semasa agar warisan bahasa rumpun Kadazandusun dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.  Penawaran subjek untuk bahasa ibunda bagi semua suku kaum di Sabah perlu dilakukan tanpa menjejaskan mana-mana penawaran yang sedia ada,” katanya.-SabahNewsToday