Pilih Bahasa

DIFITNAH BANTU BERI IC KEPADA WARGA FILIPINA DI JOHOR, AZIS AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata tuduhan kononnya beliau akan membantu memberikan kad pengenalan kepada warga Filipina, khususnya bangsa Bajau di Johor adalah fitnah semata-mata.

“Saya memandang serius berhubung fitnah disebarkan oleh pemilik akaun Facebook “Negara Borneo Utara” yang membuat tuduhan tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Azis berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung fitnah yang disebarkan oleh pemilik akaun Facebook “Negara Borneo Utara.”

Beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman individu yang bersembunyi di belakang akaun Facebook tersebut.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan menyeleweng dengan berniat jahat mahu memburukkan imej saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Sepanggar.

Gambar iringan dalam posting Facebook Azis. Gambar SNT/Ihsan FB Dato’ Mohd Azis bin Jamman

“Walhal tidak ada satu pun kenyataan saya keluarkan yang mengatakan saya akan membantu untuk memberikan kad pengenalan seperti didakwa oleh pemilik akaun Facebook tersebut,” katanya.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menggesa pemilik akaun berkenaan untuk tampil ke depan jika berani dengan tuduhannya.

“Bukan menggunakan akaun Facebook tersebut hanya semata-mata untuk membuat fitnah demi kepentingan peribadi dan politik oleh mana-mana pihak yang menajanya,” kata Azis.-SabahNewsToday