Pilih Bahasa

DIKURUNG DAN HANYA MAKAN DUA KALI SEHARI: MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA DI KEMBOJA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Kami hanya diberi makan dua kali sehari selain dikurung lebih sebulan sepanjang berada di bawah pengawasan agen.

“Awalnya saya mengikut semua arahan mereka namun selepas dua minggu berada di sana, mereka menyatakan pekerjaan sebagai mekanik yang dijanjikan tidak ada dan sebaliknya menawarkan pekerjaan berkaitan kasino online,” kata salah seorang mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja, Chong Su Kyun, 37.

Chong merupakan antara tiga warga Sabah dalam sekumpulan 47 rakyat Malaysia menjadi tahanan oleh pihak berkuasa Kemboja ekoran dipercayai terbabit aktiviti perjudian atas talian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman (dua kiri) mendengar sendiri pengalaman tiga rakyat Sabah daripada 47 rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Kemboja ekoran dipercayai terbabit aktiviti perjudian atas talian sewaktu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selebihnya adalah warga Sarawak.

Chong tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 11.30 malam semalam bersama dua lagi warga Sabah setelah dibebaskan oleh pihak berkuasa Kemboja.

Ditemui sejurus tiba Chong menceritakan dia sempat menolak tawaran berkenaan dengan alasan tidak memiliki kemahiran asas komputer tetapi agen mahu dirinya belajar semua perkara berkaitan kasino online terbabit.

Menurutnya, dia mula mengikuti tawaran kerja diberikan tetapi di tahan pihak berkuasa tempatan negara berkenaan.

Mengimbau kembali detik hitam yang dilaluinya, Chong berkata dia mula mengetahui berkaitan iklan pekerjaan di luar negara itu melalui laman sosial Facebook sebelum dimasukkan ke dalam ‘group’ Wechat.

“Kami diberikan tiket penerbangan ke Kemboja dan setibanya di Siem Reap, seorang pemandu sudah menunggu di lapangan terbang untuk membawa ke tempat penginapan.

Salah seorang mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja, Chong Su Kyun, mengucup anaknya sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Semua telefon bimbit serta passport kami diambil dan dibenarkan menghubung keluarga dalam jangka masa satu hingga dua minit sahaja,” katanya trauma mencari peluang pekerjaan di laman sosial.

Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata berumur dua dan lapan tahun berkenaan menyatakan kegembiraan serta rasa syukur dapat pulang ke tanah air bertemu keluarganya yang berada di Sabah.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jeffrydean Jude, 19, menyatakan dirinya sudah membayar bayar agen sebanyak AS$300 atau lebih kurang RM1,200 tetapi tidak menerima sebarang pekerjaan dalam bidang perhotelan yang dijanjikan.

“Saya sudah mula rasa tertipu ketika hari pertama sampai kerana pelik passport serta telefon bimbit dirampas apabila sampai di kediaman yang disediakan.

“Selama berada di sana, kami di kurung dalam bilik dan cuma bertemu orang lain pada waktu makan sahaja. Perkara itu menguatkan lagi kata hati saya sudah ditipu oleh agen terbabit,”  katanya yang berasal daripada Kampung Apin-Apin, Keningau.

Semua mangsa berkenaan dipercayai terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia yang menawarkan gaji lumayan.

Turut hadir menyambut kepulangan tiga individu berkenaan adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.-SabahNews Today