Pilih Bahasa

Disangka bau sampah, rupanya mayat guru wanita

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bau busuk sejak tiga hari lalu yang dihidu rakan serumahnya di sebuah apartment di Jalan Tuaran Bypass, Manggatal di sini akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang guru wanita di biliknya, semalam.

Mayat Kujaimah Jandih, 27, ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik berkenaan oleh rakan serumahnya, kira-kira pukul 6 petang.

Pada mulanya rakan serumah mangsa terhidu bau busuk dari bilik sebelah sejak tiga hari lalu namun tidak mengendahkan kerana menyangkakannya bau sampah.

Bagaimanapun semalam mereka tidak tahan bau busuk lalu memeriksa bilik berkenaan dan terkejut apabila melihat mayat rakannya terbaring di lantai biliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan mendapati terdapat kesan cedera di bahagian belakang kepala mangsa dipercayai terjatuh ketika berada di dalam bilik seorang diri.

“Hasil pemeriksaan oleh doktor di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, mengesahkan mangsa meninggal dunia lebih daripada empat hari sebelum mayat ditemui dalam keadaan badan mangsa sudah mengembang.

“Siasatan lanjut yang diperoleh daripada bapa mangsa mengesahkan mangsa menghidap sakit jantung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Habibi berkata mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung namun siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa suda dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa tiada kesan unsur-unsur jenayah selain tiada sebarang peralatan di tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah,” katanya.

Menurut Habibi kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – SabahNewsToday