Pilih Bahasa

Diskaun saman trafik 50 peratus sempena Pesta Kaamatan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Orang awam di negeri ini berpeluang menikmati kadar potongan sehingga 50 peratus bagi saman trafik membabitkan seluruh negeri.

Dilaksanakan selama dua hari pada 30 dan 31 Mei, pembukaan kaunter saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan adalah sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019 di perkarangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Orang ramai boleh membuat semakan berhubung saman di kaunter polis di KDCA. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata sambutan masyarakat untuk program terbabit amat menggalakkan sehingga ada pembayar saman sanggup datang serta beratur lama semata-mata mahu membayar saman pada kadar 50 peratus.

Beliau berkata diskaun berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan lalulintas kecuali saman kemalangan, saman berstatus Non Compound, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.

Orang awam sanggup beratur dan berpanas hanya untuk membayar saman tertunggak masing-masing pada kadar potong 50 peratus sempena Pesta Kaamatan di Penampang. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Setakat ini, kita tidak sukar menganggarkan jumlah pembayar saman yang hadir ke kaunter disebabkan jumlah pembayar kian bertambah dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, pastikan program ini mungkin antara dinantikan masyarakat.

“Walaupun terpaksa beratur dan berpanas namun orang ramai tetap menunggu giliran masing-masing hanya untuk melangsaikan saman mereka,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Haris (dua dari kanan) meninjau kaunter pembayaran saman yang dibuka sempena sambutan Pesta Kaamatan di KDCA, Penampang. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, beliau menganggarkan jumlah pembayar saman akan terus bertambah pada hari kedua apabila program terbabit ditahui orang awam yang belum melangsaikan saman tertunggak.

Menurutnya, kaunter pembayaran dibuka bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang untuk dua hari berkenaan. -SabahNews Today