Pilih Bahasa

Ditegur tidak pergi kerja, suami tergamak tetak isteri

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Hanya kerana menegur tidak pergi kerja, seorang wanita cedera didahi dan kedua-dua tangannya selepas ditetak dengan parang oleh suaminya di bilik sewa mereka di Kampung Sinulihan, Inanam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.28 malam itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan menegur suaminya kerana tidak pergi kerja selama empat hari dan melarang suspek terbabit dalam pengambilan dadah syabu.

Suspek yang menetak isterinya ditahan polis dalam kejadian di Kampung Sinulihan Inanam, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

Berikutan itu, suspek tidak puas hati dan menuduh mangsa memberitahu hal berkenaan kepada jiran tetangga lalu lalu berlaku pertengkaran sebelum menetak isterinya dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek bertindak mengambil parang dan cuba menetak mangsa namun dia menahan parang berkenaan menggunakan kedua-dua belah tangannya.

“Akibat itu mangsa cedera di kedua belah tangannya. Suspek kemudian melibas parang sekali lagi ke arah mangsa dan terkena pada bahagian dahinya.

“Kejadian itu disedari oleh jiran mereka dan meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata sepasukan polis yang tiba sebaik menerima maklumat itu bertindak menahan suspek dan merampas senjata jenis parang.

Katanya mangsa yang luka dan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut dan mendapat beberapa jahitan di tangan kanan dan kiri.

“Suspek berusia 37 tahun yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurut Habibi punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak puas hati apabila ditegur oleh isterinya kerana tidak pergi kerja dan melarang suspek terbabit pengambilan syabu.

Sehubungan itu katanya siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – SabahNewsToday