Pilih Bahasa

Dive Master nafi meraba penyelam wanita dari China

SEMPORNA: Seorang Dive Master tempatan menafikan telah melakukan gangguan seksual terhadap dua penyelam wanita dari China seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Dive Master yang hanya mahu dikenali sebagai James Jark itu berkata insiden itu bukan seperti yang didakwa oleh kedua pelancong tersebut.

Gambar kononnya dive master bersama dengan salah seorang penyelam dari China yang mendakwa diraba semasa membuat penyelaman. Gambar ihsan Says.com

Sebaliknya, perbuatan yang didakwa meraba oleh penyelam wanita dari China itu adalah untuk menyelamatkan nyawa mereka.

“Saya tampil membuat kenyataan ini untuk membersihkan nama saya dan dive master yang bekerja di Semporna,” katanya.

Menurutnya kedua penyelam itu datang ke Semporna bagi melakukan aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) pada 31 Mac dan mereka bukan penyelam yang berpengalaman.

“Bagaimanapun, ketika berada di dasar laut, peralatan menyelam kedua-dua mereka bermasalah dan memerlukan bantuan seseorang untuk memperbetulkannya,” katanya.

Melihat keadaan tangki salah seorang penyelam dalam kedudukan yang berbahaya, katanya beliau memberikan tanda isyarat untuk meminta pelancong itu berhenti dan menyuruhnya mengetatkan klip alat pengawal pengapungan (BCD).

“Penyelam itu membalas isyarat tangan ‘OK’ dan kemudian meneruskan selaman tanpa memperbetulkan klip dan tangki yang dipakainya. Saya mengandaikan dia tidak memahami isyarat saya berikan.

“Oleh itu, saya perlu memegang BCD yang dipakai dan memasang klip itu serta membetulkan kedudukan tangkinya.

“Ketika itu, saya terpaksa menyentuhnya bukan dengan niat melakukan gangguan seksual seperti didakwa,” jelasnya.

James berkata seorang lagi penyelam tidak memasang klip BDC di bahagian hadapan dengan betul dan beliau perlu membantu memasang klip berkenaan.

Tambahnya sebagai Dive Master, keselamatan penyelam di bawah kendalian mereka adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Jika saya tidak membantu memperbetulkan masalah BCD mereka, nyawa mereka berada dalam bahaya. Ini adalah pengetahuan asas bagi Dive Master untuk memastikan keselamatan dan juga peralatan penyelam tidak bermasalah.

“Sudah tentu sebelum turun ke laut, kami membuat pemeriksaan peralatan namun, ada kalanya ia boleh longgar ketika berada dalam air.

“Adakah tindakan saya membantu penyelam itu dianggap salah kemudian didakwa cuba melakukan gangguan seksual,” katanya.

Katanya apa yang berlaku di dasar laut ketika itu bukan seperti yang didakwa dua penyelam wanita China berkenaan.

Menurutnya kedua-dua penyelam itu tidak mempunyai pengalaman menyelam dan tidak memahami situasi yang mereka hadapi dengan keadaan BCD mereka pada waktu itu membahayakan nyawa mereka.

James menegaskan beliau sudah menjadi Dive Master selama tiga tahun dan belum pernah pelanggan mereka yang tidak berpuas hati dengan caranya membantu penyelam di dasar laut.

Menurutnya beliau sentiasa memegang etika profesional iaitu keselamatan penyelam yang menjadi keutamaan oleh setiap Dive Master.

“Tindakan yang saya lakukan itu betul dan saya tidak menyesal menegur cara pemakaian BCD mereka walaupun pada akhirnya saya yang didakwa meraba mereka.

“Saya sudah berkeluarga, cuba fikir apa perasaan isteri dan anak saya jika saya kehilangan sumber pencarian disebabkan dakwaan yang tidak benar itu?” soalnya.

Akibat daripada penularan dan laporan akhbar China mengenai insiden itu, imej sebagai seorang dive master profesional tercemar kerana meskipun dakwaan yang dilemparkan itu tidak benar, katanya.

Tambahnya beliau turut memberi kenyataan kepada pihak polis untuk membantu siasatan kerana pengusaha pelancongan yang terlibat juga telah membuat laporan polis berkenaan kes itu.

Dalam perkembangan lain, wakil pengusaha pelancongan tempatan itu berkata penyelam China berkenaan tidak membuat sebarang aduan pada hari kejadian.

“Namun, pada 1 April, penyelam itu membuat aduan kepada ejen pelancongan Cina kononnya Dive Master berkelakuan tidak elok ketika membawa mereka melakukan DSD.

“Maka, kami menasihatkan supaya penyelam China itu membuat laporan polis. Syarikat kami tidak pernah mencadangkan memberi bayaran pampasan kepada wanita China itu dan menasihatkan mereka membuat laporan polis.

“Namun, sehingga hari terakhir mereka berada di Semporna, iaitu pada 2 April, tiada sebarang laporan polis yang dibuat.

“Kemudian, kami hanya mengetahui mengenai isu yang tular ini melalui kawan-kawan pada 11 April lalu,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang daripada Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Abdul Razak Ismail berkata pihaknya turut membantu dalam kes berkenaan bagi menjaga nama baik Dive Master yang berada di Semporna.

“Walaupun Dive Master itu bukan ahli SPDA tetapi demi menjaga nama baik penyelam di Semporna, kami terpanggil turut membantu menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

“Sebagai badan yang tidak memihak kepada sesiapa, kami menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas semua pihak yang terlibat,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah telah mengambil kenyataan terhadap pihak yang terlibat berkenaan dakwaan dua pelancong China tersebut.

Pengarah Motac Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata pada Isnin pihaknya telah mengambil kenyataan pengusaha pelancongan serta Dive Master yang didakwa terlibat dalam kes tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Pada 11 April, portal berita online China Weibo melaporkan insiden yang berlaku ke atas dua warga mereka mendakwa diraba di bahagian sensitif pada tubuh mereka oleh Dive Master ketika menyelam di Semporna.

Kononnya mereka telah memfailkan aduan kepada pengusaha pelancongan tempatan yang mengendalikan tempahan mereka dan agensi itu bersetuju menawarkan pampasan bernilai RMB 3,000 (RM1,842).

Mereka mendakwa bayaran itu tidak diterima sehingga mereka kembali ke China.-SabahNewsToday