Pilih Bahasa

D’Masiv bakal hangatkan pentas Konsert KupikupiFM

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Lester (tengah) bersama barisan artis,penyampai KupukupiFM dan penaja bagi Konsert KupikupiFM sempena sidang media konsert berkenaan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih 7,000 penonton dijangka hadir menyaksikan Konsert KupikupiFM pada 14 Disember ini di  Pusat Kebudayaan Penampang.

Konsert berkenaan akan dihangatkan dengan penampilan artis terkenal terkenal tanah air dan tempatan Sabah termasuklah Estranged, Benzooloo, Fanzi Ruji, Hosiani Keewon, Lobo, Nera dan pemuzik RTM Sabah.

Paling mengujakan apabila konsert yang memasuki penganjuran kali keempat ini turut menampilkan kumpulan terkenal Indonesia, D’Masiv selaku artis utama pada konsert malam itu nanti.

Pengurus Program KupikupiFM, Lester Calvin Miol berkata penganjuran konsert terbabit adalah sebagai penghargaan pihaknya kepada masyarakat di negeri itu khususnya pendengar setia stesen radio berkenaan.

Lester berkata walaupun dalam keadaan ekonomi kini yang kurang menentu namun KupikupiFM tetap mengambil langkah berani untuk menganjurkan konsert buat pendengar serta pencinta muzik di Sabah.

“Ini adalah salah satu cara kita membalas budi baik pendengar kerana sentiasa mendengar kami walau di mana sahaja berada.

“Pendengar ialah tunggak utama sesebuah stesen radio. Tanpa mereka mungkin kita juga tidak boleh bertahan sehingga ke hari ini,” katanya ketika sidang media mengenai Konsert KupikupiFM di sini, hari ini.

Menurut Lester konsert malam itu nanti turut menyaksikan penyampaian Anugerah Legend Kita kepada Allahyarham Datuk MY Ismail bagi mengenang jasa beliau kepada industri muzik tempatan.

Lester (dua dari kiri) ketika sidang media Konsert KupikupiFM di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, Lester berkata sesi ramah mesra bersama Estranged dan Nera juga akan diadakan pada 13 Disember manakala kumpulan D’Masiv pada 14 Disember.

“Pendengar berpeluang menjadi salah seorang individu bertuah menghadiri sesi bertemu peminat ini menerusi pertandingan yang akan kita adakan ketika keudara.

“Selain itu, pihak Digi selaku penaja utama bakal memilih pemenang untuk menyertai acara ini,” katanya.

Sementara itu, Lester menyatakan selain acara konsert, pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti Singgah Kupi Kupi iaitu karnival makanan terdiri pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga pada sebelah siang sebelum acara konsert bermula jam 12 tengah hari. 

“Kita berharap semua pendengar KupikupiFM, peminat artis, penggemar muzik dan orang awam dapat hadir memeriahkan konsert ini kerana masuk adalah percuma,” katanya. – SabahNews Today