Pilih Bahasa

Dominasi MVB berterusan

KOTA KINABALU: Kelab Taekwondo MVB (MBVTC) meneruskan dominasi Kejohanan Taekwondo Remaja dan Terbuka UTSA (WT) 2019 yang berakhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Ranau pada Ahad.

Kejohanan edisi Ke-6 anjuran Persatuan Taekwondo Bersatu Negeri Sabah (UTSA) itu, disertai oleh 870 atlet dari seluruh negeri Sabah melibakan 166 peserta Poomsae dan 704 peserta Kyorugi yang mewakili 20 pasukan.

Kelab Taekwando MVB juara. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Dalam disiplin Kyorugi, para pelatih Master Barry Voon (MBV) membolot 27 pingat emas, 22 pingat perak dan 35 pingat gangsa untuk mengatasi 19 pasukan lain di kejohanan tiga hari itu.

Kelab Taekwondo Perdana (PTC), Lahad Datu muncul selaku naib johan dengan 14 emas, lapan perak dan 15 gangsa manakala tempat ketiga disandang oleh Kelab Taekwondo Beaufort (BFT) dengan tujuh emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Kelab Taekwondo Tenom (TTC) menduduki tempat keempat dengan tujuh emas, lima perak dan enam gangsa, sambil Kelab Taekwondo Borneo Tigers (BTTC), Lahad Datu menempatkan diri dalam kumpulan lima pasukan terbaik pada edisi kali ini dengan membawa pulang enam emas, 11 perak dan tujuh gangsa.

Dalam disiplin Poomsae, MVBTC yang berpusat di Kota Kinabalu berpesta pingat dengan 13 emas, 14 perak dan 12 gangsa, memenangi lebih separuh dari jumlah pingat yang dipertandingan untuk menewaskan sembilan pasukan lain.

Kelab Taekwondo Kota Belud (KTKB) muncul selaku naib johan dengan empat emas dan dua perak, sambil Kelab Taekwondo Kota Marudu (KMTC) menduduki tempat ketiga dengan tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Kelab Taekwondo Alpha One (A1TC), Tamparuli menduduki tempat keempat dengan satu emas, satu perak dan tiga gangsa, sambil Kelab Taekwondo Hierofalcon (HFTC), Ranau menduduki tempat kelima dengan satu emas.-SabahNewsToday