Pilih Bahasa

DPPIMS mohon kerajaan bantu IKS terjejas susulan PKP

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) memohon kerajaan membantu sektor perniagaan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penasihat Kehormat, Datuk Baisul Khan Salman Faris menerusi kenyataan hari ini berkata meskipun DPPIMS menyambut baik inisiatif kerajaan memberi subsidi upah kepada IKS menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), namun, ia tidak begitu membantu pemilik perniagaan IKS.

Datuk Baisul Khan Salman Faris. Gambar SNT/Ihsan DPIMMS

Beliau berkata ini kerana inisiatif itu masih jauh daripada gaji minimum malah syarat yang dikenakan untuk membuktikan perniagaan mengalami kerugian pula sukar dipenuhi oleh golongan peniaga kecil.

“Kami merayu kepada kerajaan untuk memberi bantuan dan tumpuan khas kepada peniaga IKS kerana sektor ini penting untuk negara bagi memastikan peluang pekerjaan terus ada, kitaran ekonomi negara dalam keadaan baik dan pendapatan cukai negara tidak terjejas.

“Ini termasuk menyuntik dana secukupnya bagi membantu IKS yang terjejas teruk. Bagi DPPIMS, pengusaha restoran, kedai pakaian, elektronik dan lain-lain mengalami kekurangan aliran tunai. Jika mengalami kekurangan aliran tunai, sebuah perniagaan itu sukar berjaya,” katanya.

Baisul Khan berkata kerajaan harus menyediakan suntikan dana itu menerusi SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan agensi lain, di samping memastikan dana tersebut mudah diakses dengan tidak membebankan perniaga dari segi penyediaan dokumen kewangan dan prosedur berkaitan.

Beliau berkata kerajaan turut perlu memastikan semua bayaran sewa kedai, tapak atau bangunan perniagaan serta asrama pekerja dikecualikan selama tiga bulan bagi membantu peniagaan khususnya restoran dan kedai makan yang dijangka mengalami tempoh kritikal selepas tempoh PKP.

“DPPIMS ingin memohon kepada kerajaan (Persekutuan) termasuk kerajaan Sabah untuk membantu para peniaga dengan menangguhkan sewa atau bayaran kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau majlis daerah sekurang-kurangnya enam bulan.

“Sewa dimaksudkan ialah kawasan tempat letak kereta khas, kawasan ruang legar untuk meletakkan meja kerusi dan barang, sewa ‘awning’ atau bumbung, pengiklanan dan sewa berkaitan lain,” katanya.

Usahawan IKS juga perlu diberikan pilihan untuk menstrukturkan semula semua tunggakan cukai perniagaan dan tunggakan bayaran tertentu melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial serta agensi lain dengan semua faedah kelewatan harus diambil kira.

“Kami tidak minta tunggakan itu dibatalkan, tetapi merayu peluang diberikan untuk menstrukturkan semula tunggakan tersebut tanpa penalti,” katanya.

Selain itu, Baisul Khan berkata DPPIMS memohon supaya cukai perniagaan kepada peniaga yang terjejas diberikan pengecualian sekurang-kurangnya tiga bulan bagi tahun taksiran 2020 dan termasuk penangguhan bayaran ansuran sedia ada.

Dewan perniagaan itu juga memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian diskaun bagi bil utiliti kepada sektor perniagaan termasuk ke atas bil penyedia talian tetap dan internet.-SabahNewsToday