Pilih Bahasa

DR MAXIMUS MENANG TANPA TANDING JAWATAN PRESIDEN PBS

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menang tanpa tanding jawatan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) apabila mendapat pencalonan daripada 48 bahagian untuk pemilihan parti pada 15 – 17 November nanti.

Presiden, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah mengumumkan secara rasmi untuk mengundurkan diri semasa pembukaan mesyuarat agung PBS bahagian Tambunan baru-baru.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Gambar Fail SNT

Senarai calon yang layak telah diumumkan di ibupejabat PBS di Donggongon, Penampang hari ini oleh Setiausaha Agung, Datuk Johnny Mositun.

Beliau berkata tempoh pencalonan telah berakhir pada 31 Oktober dan kertas-kertas pencalonan telah dibuka kelmarin. Calon yang layak mempunyai masa sehingga 7 November samaada mahu meneruskan atau menolak pencalonan masing-masing.

Menurut beliau lima calon layak bertanding merebut jawatan timbalan presiden mewakili Bumiputera bukan Islam yang akan dikosongkan oleh Dr Maximus.

Mereka adalah Datuk Radin Malleh, Datuk Daniel Kinsik, Ahli Dewan Undangan Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Dewan Undangan Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Mositun sendiri.

Untuk layak seseorang itu perlu menerima pencalonan sekurang-kurangnya daripada tiga bahagian.

Radin mendapat pencalonan tertinggi iaitu 23 diikuti dengan Bangkuai yang mendapat 11 pencalonan, manakala Mositun dan Dr Joachim masing-masing mendapat empat dan Daniel pula mendapat tiga pencalonan.

Pada pemilihan parti yang lalu jawatan timbalan presiden bagi Bumiputera bukan Islam telah dimenangi oleh Dr Maximus setelah mengalahkan pencabarnya Datuk Henrynus Amin.

Menurut Mositun lagi, penyandang jawatan timbalan presiden mewakili Bumiputera Islam dan Cina masing-masing turut mendapat cabaran pada kali ini.

Untuk wakil Bumiputera Islam, penyandang Senator Datuk Jamilah Sulaiman akan dicabar oleh ADUN Tamparuli yang juga Ketua Penerangan PBS, Datuk Jahid Jahim manakala, bagi jawatan timbalan presiden mewakili kaum Cina akan menyaksikan ulangan pertandingan pemilihan lalu diantara penyandang Datuk Dr Yee Moh Chai dan pencabar Datuk Edward Yong Oui Fah.

Mositun berkata 16 pemimpin layak untuk bertanding bagi tiga jawatan naib presiden mewakili kaum Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan Cina.

Untuk jawatan ketua wanita, ADUN Tandek, Datuk Anita Barantin akan mempertahankan jawatannya daripada pencabar, Malianah Ugau.

Christopher Mandut yang sedang memangku jawatan Ketua Pemuda selepas penyandang, Datuk Jake Jikulin Nointin meninggalkan PBS sebelum pilihanraya ke-14 akan bertanding dengan Marius Masain untuk mengetuai pergerakan pemuda.

“Pertandingan yang banyak bagi jawatan-jawatan yang ada dalam pemilihan kali ini amat sihat dan menunjukkan bahawa PBS masih relevan. Masih ramai yang berminat untuk memimpin parti,” kata Mositun.-SabahNewsToday