Pilih Bahasa

Dr Yusof menang tanpa tanding Ketua Bahagian Warisan Sipitang

Oleh Sabah News Today

Dr Yusof (empat kiri), Mahadi (tiga kiri), Harunsah (empat kanan), Noor Hayaty (tiga kanan), Mohd Shariff (dua kanan) dan Ratnasari (kanan) merakam kenangan bersama ahli jawatankuasa selepas penangguhan Mesyuarat Perwakilan Warisan Bahagian Sipitang.Gambar SNT/Ihsan Warisan Sipitang

SIPITANG: Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob diisytiharkan sebagai peneraju kepimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sipitang yang baharu apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian dalam Mesyuarat Perwakilan di sini pada Selasa.

Pemilihan itu juga menyaksikan Mantan Ketua Bahagian, Hj Mahadi Mumin yang bertanding bagi kerusi timbalan mengalahkan dua calon lain, Samlih Juasin dan Harith Rahim.

Timbalan Ketua Bahagian Mahadi Mumin. Gambar SNT/Ihsan Warisan Sipitang

Sementara seorang lagi calon timbalan, Kamis Daming mengisytiharkan menarik diri di saat akhir sebelum pemilihan bermula.

Bagi jawatan naib ketua pula dimenangi oleh Harunsah Ibrahim selepas menewaskan Sumayung Using dan Kasmiran Kasmiran.

Seramai 23 calon bersaing bagi mengisi 10 kerusi bagi jawatan ahli jawatankuasa selepas seorang calon menarik diri.

Harunsah Ibrahim. Gambar SNT/Ihsan Warisan Sipitang

Keputusan akhir menyaksikan Mohd Gun Puteh, Abdul Salim Hj Tengah, Alias Safiudin, Mastul Ampong, Md Puting Musdin, Sarudin Maidin, Jum Abas, Amarali Juasin, Suriahati Stephen dan Mifli Maharin diumumkan sebagai pemenang.

Mesyuarat Perwakilan sayap Warisan yang diadakan sehari sebelum itu menyaksikan Mantan calon Parlimen Sipitang, Noor Hayaty Mustapha dipilih sebagai Ketua Wanita dalam pertembungan satu lawan satu dengan Maimunah Itam.

Ketua Wanita Warisan Sipitang, Noor Hayaty Mustapha. Gambar SNT/Ihsan Warisan Sipitang

Bagi Ketua Wira dan Wirawati masing-masing disandang Mohd Shariff Damsal dan Ratnasari Abdul Jari selepas menang dalam pertandingan dua penjuru.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin itu mengingatkan mereka yang terpilih agar menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan telus untuk menjaga kepentingan semua ahli dan menghindari daripada berkelompok-kelompok.

Ketua Wirawati Sipitang Ratnasari Abdul Jari.Gambar SNT/Ihsan Warisan Sipitang

“Kita tidak mahu budaya lama, yang ada team masing-masing. Kita mahu dalam Warisan tidak ada lagi istilah ini orang Dr Yusof pulan, ini orang Hj Mahadi, itu orang Samlih. Kita adalah orang warisan
Kita adalah orang yang diberi mandat untuk menjaga semua ahli-ahli.

“Yang menang bukan menang semua dan
yang kalah bukan kalah semua,” katanya dalam ucapan penangguhan mesyuarat itu.

Beliau juga menyeru agar kepimpinan baharu mestilah proaktif membuat kerja dan bukan semata-mata menunggu.

‘Cari dan aplikasikan idea-idea baaharu untuk membela rakyat dengan pelbagai program yang menepati sasaran,” katanya.-SabahNewsToday