Pilih Bahasa

Dua acara baharu serikan sambutan ulangtahun TYT tahun ini

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Dua acara baharu akan dilangsungkan sempena dengan sambutan Ulangtahun ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata secara keseluruhannya terdapat 12 acara yang akan dilangsungkan bermula pada 3 Oktober sehingga 5 November depan.

Jaujan (tengah) dalam sidang akhbar hari ini. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Acara yang baharu adalah acara konvoi motosikal berkuasa besar dari Kota Kinabalu sehingga ke Kota Belud pada 19 Oktober.

“Acara ini dijangka akan menerima penyertaan lebih daripada 200 peserta tempatan, Semenanjung Malaysia, Brunei dan banyak lagi. Konvoi ini juga akan diketuai oleh Tun sendiri,” katanya dalam sidang media sempena penganjuran sambutan Ulangtahun ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata acara kedua adalah Anugerah Atlet Cemerlang Sabah yang akan dilangsungkan pada 22 Oktober depan bertempat di Magellan Grand Ballroom Sutera Habour pada waktu malam.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata malam anugerah itu akan dihoskan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

“Mereka (atlet) cemerlang dalam sukan negeri sehingga ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa akan diberikan anugerah istimewa berkenaan.

“Acara selebihnya adalah majlis yang biasa dilakukan setiap tahun seperti Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di masjid negeri di sini pada 3 Oktober, acara terakhir ialah malam sentuhan kasih pada 5 November di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

“Acara lain seperti perbarisan pada 5 Oktober di Padang Merdeka di awal pagi, diikuti jam 11 pagi penganugerahan bintang kebesaran negeri Sabah di Istana Negeri dan pada malamnya jamuan negeri sempena ulang tahun TYT di Dewan Bangkuasi Dewan Undangan Negeri (Dun),” katanya.

Jaujan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata jamuan teh bersama anak-anak istimewa akan diadakan pada 10 Oktober di Nexus Karambunai.

Beliau berkata acara seumpamanya diadakan bagi menghebahkan lagi peranan TYT kepada rakyat yang mana wujudnya kasih sayang diantara Tun Juhar dan rakyat jelata.

“Tun turut menghayati minat golongan belia dalam aktiviti motosikal dan sebab itu beliau sendiri akan turut serta dalam konvoi berkenaan.

“Kewujudan kelab motosikal adalah satu pendekatan yang baik agar anak muda boleh menunggang motosikal masing-masing mengikut peraturan selain dijadikan sebagai riadah yang baik,” katanya.-SabahNewsToday