Pilih Bahasa

Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah memukul pasangan suami isteri di Api-Api Centre

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Dua ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merusuh dan memukul sepasang suami isteri di kawasan Api-Api Centre pada 2 Jun lalu.

Asainar @ Hassnar M.P. Ebrahim, 67, dan Fakarudin Ampong, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Kedua tertuduh bersama dengan tiga lagi lelaki yang masih bebas  menghadapi pertuduhan memukul pasangan suami isteri di belakang restoran Yussof Curry House di kawasan Api-Api Centre, blok 1 di sini lebih kurang jam 1 pagi pada 2 Jun.

Sebelum ini rakaman video CCTV keselamatan mengenai insiden sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki lain dan wanita turut tular di media sosial.

Asainar dan Fakaruddin didakwa dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang peruntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mencadangkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Namun, peguambela, Ansari Abdullah yang mewakili Asainar dan Fakarudin membantah dan meminta Mahkamah mengurangkan jumlah tersebut.

Katanya kedua anak guamnya sebelum ini telah dikenakan ikat jamin polis dan mereka juga mengalami masalah wang.

Mahkamah kemudian membebaskan kedua tertuduh masing-masing dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 24 Jun sebagai hari untuk pengurusan kes.

Asainar dan Fakarudin turut diperintahkan untuk melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat sekali setiap dua minggu sehingga kes tersebut selesai.

Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua tertuduh untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan. -SabahNewsToday