Pilih Bahasa

Dua bangkai gajah Pygmy ditemui

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan dan Telupid, Beluran.

Bangkai gajah betina dewasa ini ditemui di Ladang Sentosa di Sukau pada Sabtu lalu manakala di Hutan Simpanan Deramakot, ditemui hari ini.

Bangkai salah satu gajah yang ditemui di Sukau, Kinabatangan. Gambar SNT/Ihsan JHL

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung penemuan dua bangkai gajah berkenaan.

“Pasukan JHL Sabah sudah dihantar ke Sukau untuk melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah pertama.

“Pasukan kedua dalam perjalanan ke lokasi bangkai gajah yang kedua,” katanya.

Augustine berkata pada masa ini, beliau tidak mempunyai butiran lengkap mengenai kejadian berkenaan.

“Kita belum dapat memastikan sama ada dua bangkai gajah ini adalah mangsa pemburu haram atau disebabkan keracunan.

“Siasatan masih dijalankan oleh pasukan JHL,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata untuk tahun ini sahaja, sebanyak tiga kes kematian gajah direkodkan termasuk seekor gajah ditemui di Sukau pada Januari lalu.

Untuk rekod juga, tahun lalu sahaja, JHL Sabah merekodkan sebanyak 25 kes kematian gajah di Sabah. – SabahNewsToday