Pilih Bahasa

Dua batalion PGA baharu di Sabah secepat mungkin

Gambar Bernama

SANDAKAN, 6 Nov — Kertas kerja bagi mewujudkan dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah akan dikemukan kepada kerajaan pusat secepat mungkin, kata  Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff hari ini.

Menurutnya, cadangan mewujudkan batalion baharu di Kunak dan Kudat serta Beluran telah diluluskan pada sidang Parlimen pada 2014, namun Batalion 20 PGA Beluran diwujudkan  terlebih dahulu susulan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

“Saya berharap cadangan mewujudkan Batalion 21 di Kunak dan Batalion 22 di Kudat serta satu lagi Briged PGA di timur Sabah dapat direalisasikan bagi menambah kekuatan PGA di Sabah dalam mengawal keselamatan  secara menyeluruh.

“Kita yakin, jika ada semua kekuatan (PGA) ini, kita mampu mempertahankan Sabah daripada ancaman luar tanpa mengarapkan bantuan daripada negeri lain kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kawasan tanggungjawab masing-masing sama ada di Sarawak dan juga di Semenanjung,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran di sini hari ini.

Mengenai lawatannya ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran, beliau prihatin dengan keadaan batalion itu yang terpaksa beroperasi daripada sebuah bangunan komersil yang disewa di sini.

Beliau berkata sebuah tapak berukuran 79 hektar (196 ekar) untuk membina kem Batalion 20 PGA itu telah dikenalpasti di Beluran dan sepatutnya pecah tanah bulan lepas.

Namun, atas masalah teknikal, pengeluaran tender pembinaan kem itu akan dibuat semula oleh Kementerian Dalam Negeri tahun depan, katanya.

“Kita menjangkakan pembinaan dengan kos RM430 juta akan mengambil masa tiga hingga lima tahun.

“Pembinaan akan dilengkapi pejabat dan kuarters yang boleh menempatkan satu kem untuk seluruh pegawai dan anggota seramai lebih 600 orang,” katanya.

— BERNAMA