Pilih Bahasa

Dua beradik maut, ibu terlelap ketika memandu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua beradik perempuan maut dipercayai tercampak keluar dari kenderaan jenis Pajero Sport yang dipandu ibunya, di Kilometer 56, Jalan Kalabakan Sapulut, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa Nur Halisa Sufiyya Resmanshah, 7, dan adiknya Nur Syaakur Safiyyah Resmanshah, 5, yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kereta Pajero terjatuh ke dalam gaung selepas terbabas. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Labuan bersama ibu bapa dan adiknya.

“Siasatan awal mendapati, ibunya yang memandu kenderaan terbabit dipercayai terlelap mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terjatuh ke gaung sebelah kiri, kira-kira 11 meter dari bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ibu, bapa dan adik lelaki mangsa selamat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” katanya.-SabahNewsToday