Pilih Bahasa

DUA BOT NELAYAN JONGKONG DITAHAN APMM

Oleh Alfred Petrus

Awak-awak dan tekong yang ditahan APMM dalam Ops Sejahtera di Pulau Gaya. – Gambar SNT/Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Ops Sejahtera Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua buah bot jongkong bersama dua tekong warga tempatan dengan 14 awak-awak warga Filipina di Pulau Gaya, dekat sini hari ini.

Kedua-dua bot tersebut didapati sedang dalam perjalanan menuju ke arah timur laut Pulau Gaya, berkemungkinan ke arah kawasan laut dalam di sekitar pelantar minyak yang berhampiran.

Pengarah Maritim, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan berkata hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah bot berkenaan membawa enam buah bot kecil tanpa lesen dan tiada nombor pendaftaran dipamerkan pada badan bot.

Dalam pada itu katanya, lapan awak-awak bot berkenaan memiliki dokumen Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang meragukan dan salah seorang memiliki dokumen IMM13.

Antara bot-bot kecil berenjin sangkut tanpa lesen dan tiada nombor pendaftaran yang dirampas dalam operasi APMM. – Gambar SNT/Ihsan APMM

“Pemeriksaan pada bot kedua mendapati membawa sebuah bot dengan enjin sangkut yang mana nama tekong tidak sama seperti dalam syarat sah lesen dan turut membawa enam awak-awak dengan dokumen JKM yang meragukan.

“Bot tersebut dan awak-awaknya telah ditahan dan dibawa ke jeti APMM Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kamaruszaman berkata kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Tambah beliau siasatan lanjut akan dilakukan terhadap bot-bot yang ditahan itu termasuk penglibatan mereka dalam pencerobohan kawasan larangan di pelantar-pelantar minyak di Pantai Barat Sabah. 

“APMM Sabah menerima aduan awam berkenaan penampakan bot-bot kecil yang menggunakan enjin sangkut menjalankan aktiviti perikanan dalam kawasan larangan pelantar yang mana adalah salah dari segi undang-undang,” katanya.

Tegasnya kawasan pelantar minyak adalah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan.

Dalam pada itu beliau menyeru kepada semua orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul dengan memaklumkan pihak APMM dengan kadar segera.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Sabah di talian 088 270165 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebrang kes kecemasan di laut. – SabahNewsToday