Pilih Bahasa

Dua calon import mencuba nasib menyarung jersi Tambadau Sabah

KOTA KINABALU: Dua calon import sedang mencuba nasib menyarung jersi Tambadau Sabah yang kini mempunyai satu kekosongan selepas melepaskan pemain pinjamannya dari Melaka United, Luka Mulinovic bulan lalu.

Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata, jendela perpindahan pemain yang kini dibuka sehingga 29 Mei akan dimanfaatkan untuk mengisikan kekosongan yang ditinggalkan Milunovic berkenaan.

“Fokus kita sekarang ialah mengisi kekosongan yang ditnggalkan Milunovic tetapi jika ada keperluan menukar mana-mana pemain lagi, kita akan pertimbangkan juga demi memantapkan lagi pasukan.

“Harap-harap kita dapat pemain yang sesuai sebelum perlawanan akan datang,” kata Peter dalam kenyataannya pada Jumaat.

Skuad Tambadau Sabah yang masih memiliki tiga pemain import iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su, penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic dan penyerang dari Brazil, Luiz Carlos Junior akan meneruskan cabaran Liga Premier menentang UKM FC di tempat lawan 17 Mei ini.

“Kita sudah ada dua calon import yang sedang diuji. Mereka telah tiba di sini (Kota Kinabalu) sejak semalam (Khamis) tetapi sama ada mereka akan menyarung jersi kita, akan bergantung kepada pemain itu sendiri. Mereka akan diuji serta perlu melepasi beberapa prosedur lain seperti dari aspek kesihatan dan kecergasan.

“Kita mahu pemain baru yang boleh memantapkan lagi pasukan mengharungi baki saingan musim ini dan memastikan kedudukan pasukan di dua tangga teratas sekarang dapat dipertahankan seterusnya merealisasikan sasaran kita naik ke Liga Super musim depan,” katanya.

Dua calon import yang kini berada dalam radar SAFA itu ialah bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga, 30 dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayew, 29.

Aguinaldo yang berketinggian 1.86m beraksi untuk Ubon UMT dalam Liga Premier Thailand musim lalu manakala kelab terakhirnya iala Poli Lasi FC dalam saingan Liga Super Romania (2019).

Ahmet dengan ketinggian 1.85m pula beraksi untuk kelab Arema dan Persela dalam liga utama Indonesia pada 2017 hingga 2019.

“Kita menjangkakan saingan akan terus bertambah sengit kerana pasukan lain juga sedang berusaha memantapkan pasukan dengan membawa masuk pemain baru di mana jendela perpindahan pemain dibuka sehingga 29 Mei (dibuka sejak 2 Mei lalu).

“Kita juga perlu manfaatkan jendela perpindahan pemain ini dengan membawa masuk pemain yang boleh memberi nafas baru kepada pasukan,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Tambadau Sabah kini di kedudukan kedua carta Liga Premier yang membabitkan 11 pasukan selepas mengumpul 21 mata dari 11 perlawanan dengan rekod enam menang, tiga seri dan dua kalah.

Skuad bimbingan Jelius Ating itu hanya tiga mata di belakang pendahulu, JDT II (24 mata) manakala dua pasukan di bawah Sabah yang memberi saingan sengit ialah UiTM FC (20 mata) dan Terengganu FC II (19 mata).

Selepas menentang UKM FC, Tambadau Sabah akan terus bertarung di gelanggang lawan menentang Pulau Pinang pada 25 Mei sebelum kembali menanti kehadiran Negeri Sembilan di Stadium Likas pada 15 Jun.-SabahNewsToday