Pilih Bahasa

Dua calon PRK Parlimen Kimanis `lega’ tunai tanggungjawab

Oleh Junaidi Ladjana

Karim Bujang tiba di pusat pengundian di SK Kimanis. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

KIMANIS: Dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menunaikan tanggungjawab membuang undi di kawasan masing-masing hari ini.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, manakala Datuk Mohamad Alamin di SK Our Lady Fatima, Papar.

Karim berkata selepas kira-kira dua minggu ‘stress’ berkempen, hari ini amat melegakan.

“Saya agak kurang ‘stress’ hari ini selepas berkempen sejak 4 Januari lalu. Alhamdulillah, saya lihat proses pengundian lancar, pengundi jalankan tugas masing-masing, dan cuaca juga cerah, mudah-mudahan berterusan hingga petang.

“Jadi saya merayu pengundi turun awal untuk melaksanakan tanggungjawab supaya proses pengundian lancar dan terhindar daripada kesesakan dan hujan,” katanya.

Mohamad membuang undi di SK Our Lady Fatima, Papar. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

Karim berkata, beliau akan melawat semua 19 daerah mengundi yang ada di Kimanis ini.

Sementara itu, Mohamad yang ditemui berkata beliau amat berpuas hati dengan proses pengundian pada pagi tadi yang berjalan dengan lancar. 

“Alhamdulillah saya berpuas hati dengan  persiapan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya mendoakan proses akan berjalan lancar pada hari ini. 

“Insyallah saya akan ambil masa sebelah tengah hari atau pagi ini untuk meninjau proses pembuangan undi di sekitar Parlimen Kimanis ini,” katanya. – SabahNewsToday